Paling Popular
Terkini

PRN SABAH | Bagi pilihan raya negeri (PRN) Sabah, ada beberapa kawasan yang sukar diramal memandangkan pada pilihan raya umum (PRU) 2018 lalu, kawasan tertentu menjadi kawasan marginal dengan memperoleh perbezaan undi bawah 5 peratus antara parti yang menang dan di tempat kedua.

Antara kerusi seumpamanya adalah Petagas, Kundasang, Bingkor, Melalap, Kunak, Balung, dan Sebatik.

Kalau di pantai timur Sabah, Balung merupakan kawasan dengan perbezaan paling rapat. Ia juga salah satu kawasan yang terlibat dalam insiden “lompat parti” yang menyebabkan berlakunya jujukan peristiwa sehingga tercetusnya PRN kali ini.

Bagi penduduk di DUN Balung, rasa risau terhadap kemungkinan wakil rakyat yang melompat itu memang ada. Kata mereka, mereka bingung mahu memilih siapa di kertas undi nanti.

“Siapa pun (akan) risau. Tak tahu nak cakap apa. Sekarang kita undi dia, dia melompat, jadi kita ni, rakyat biasa, jadi apa? Kecewa lah,” kata pemandu lori, Duba Ola, 53 ketika ditemui di Jalan Empat, Kampung Blok 31 di Balung.

Duba Ola.

Bagi buruh kasar, Hassan Hussin, 47, pemimpin sepatutnya boleh diharap untuk mengutamakan rakyat dan turun padang mendengar masalah rakyat. “Ini, dengar khabar angin, sudah terbang sana terbang sini. Aduh ... Kita pun payah sudah ni mahu pilih,” katanya.

Balung sebelum PRU-14 lalu merupakan kubu kuat BN, tapi kali ini, pengundinya sulit diramal, apabila rata-ratanya menganggarkan peluang 50-50 untuk parti bertanding.

Pengundi belum buat keputusan

Meskipun ikut bersorak di kempen parti, apabila disoal, kebanyakannya tidak berselindung memberitahu belum tahu mahu mengundi parti mana.

Yang pasti, mereka mahu masalah yang merudung sekian lama seperti jalan yang teruk di kawasan kampung, kekurangan lampu jalan, dan masalah air dapat diselesaikan oleh wakil rakyat yang menang nanti.

Di pekan pula, penduduk menuntut peningkatan perkhidmatan pengangkutan awam serta masalah peluang pekerjaan.

DUN Balung yang terletak di dalam Parlimen Tawau yang merangkumi kira-kira 950 km persegi, pada PRU lepas merekodkan seramai 14, 541 pengundi. BN menang dengan 4,887 undi (47.08 peratus) manakala Warisan memperoleh 4,713 undi (45.05 peratus).

Ini menjadikan kedua-dua parti itu bertingkah hanya 1.68 peratus undi sahaja, iaitu sebanyak 174 undi, menjadikan Balung di tempat ketiga kawasan paling sedikit marginnya, selepas Bingkor dan Petagas.

Hamild @ Hamid Awang

Bekas Adun, Osman Jamal @ Jamar terlibat dalam gerakan menyokong bekas ketua menteri, Musa Aman bagi membentuk kerajaan baru Julai lalu, namun DUN dibubarkan, dan nama Osman kemudiannya tercicir daripada senarai calon mana-mana parti dalam PRN ini.

Dia diganti Hamild @ Hamid Awang mewakili BN, manakala pencabarnya dari Warisan pada PRU lalu, Andi Rus Diana Andi Paladjareng disenarai semula untuk bertanding.

Dari segi kempen, tidak banyak bezanya kandungan kempen Andi dan Hamild, malah ketika disoal, mereka senada mahu menyelesaikan isu-isu asas penduduk Balung seperti isu air dan jalan.

Andi menyifatkan masalah kemudahan asas seperti itu sepatutnya sudah lama diselesaikan oleh pentadbiran terdahulu dan tidak lagi sepatutnya timbul, manakala Hamild berikrar mahu menitikberatkan soal infrastruktur jika dipilih, sambil menyifatkan BN jauh mempunyai lebih banyak kelebihan berbanding Warisan.

Kempen terbatas di Tawat

Gara-gara Tawau kini zon merah Covid-19, kempen agak terbatas dengan kempen rumah ke rumah, dan ceramah pula diadakan dalam kumpulan penonton lebih kecil berbanding kempen pilihan raya kebiasananya.

Balung menyaksikan pertembungan tujuh penjuru antara Warisan, BN, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Parti Cinta Sabah (PCS), dan Parti Liberal Demokratik.

Soal kemudahan asas turut menjadi hal yang disuarakan penduduk di DUN Sebatik dalam Parlimen Kalabakan, seperti beberapa penduduk di Kampung Brantian- kira-kira 70km dari pekan Tawau- rata-ratanya terus membangkitkan soal jalan sejak awal perbualan.

Sebatik merupakan kawasan disandang Abd Muis Picho, wakil rakyat yang menukar sokongan sebanyak dua kali sejak PRU-14 lalu- dari Umno ke Warisan dan kini di bawah bendera Bersatu.

Berdasarkan pemerhatian, keadaan jalan Tawau-Kalabakan menuju kampung itu memang rosak teruk- tanah runtuh di beberapa lokasi sehingga hanya satu lorong boleh dilalui dalam satu-satu masa, banyak lokasi berlubang dan berbonggol teruk sehingga membahayakan nyawa pengguna jalan.

Mereka turut meminta disegerakan penyelesaian air yang pada masa kini, ditadah daripada air hujan melalui tangki-tangki biru di rumah masing-masing. Jika kemarau, mereka perlu mengambil air dari sungai.

Penduduk Sebatik mahu infrastruktur

Di Pulau Sebatik pula, selain mahukan jalan penghubung antara kira-kira 17 kampung di pulau itu, penduduk juga mahu dibinakan sebuah klinik dan balai polis tambahan bagi menjaga sempadan.

Pulau unik yang berkedudukan kira-kira 30 minit perjalanan bot dari Tawau itu, merupakan pulau yang dikongsi dua negara- sebahagian pulau di bahagian utara dimiliki Malaysia dan sebahagian lagi di selatan dimiliki Indonesia.

“Kerana sini dekat sempadan, mahu pondok polislah, dan klinik. Ini yang penting,” kata Jupatli Mailaji, 66, yang berkongsi pernah menenami anaknya yang mahu bersalin menaiki bot untuk ke hospital di Tawau pada lewat pagi, mengharungi keadaan yang berbahaya.

Selain itu, rata-rata penduduk di Balung dan Sebatik turut meminta agar rumah program perumahan rakyat termiskin (PRPT) dimudahkan kelulusannya, terutamanya di kawasan pedalaman.

Mereka mendakwa banyak keluarga daripada generasi berlainan terpaksa berkongsi satu rumah yang sama kerana kesukaran mendapatkan rumah berkenaan.

Seperti Andi di Balung, calon Warisan di Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir turut berjanji mahu menyelesaikan masalah yang disuarakan penduduk.

PRU-14 lalu, calon BN- Abd Muis Picho menewaskan Hassan dengan 2,468 undi berbalas 2,275 undi, dengan jurang hanya 193 undi daripada 7,614 pengundi, atau perbezaan undian sebanyak 3.65 peratus, menjadikan Sebatik juga sebagai salah satu kawasan marginal.

Abd Muis yang menyandang kerusi itu sejak 2008 tetapi kali ini bertanding di bawah tiket PN - Bersatu, dalam kempennya berjanji membina klinik kesihatan kelas enam lengkap dengan kuarters kakitangan di pulau itu, selain jalan menghubungkan kampung-kampung yang masih terpisah oleh laluan air.

Katanya, dia telah banyak berjasa untuk kawasan Sebatik. Untuk rancangan masa hadapan pula, katanya, peruntukan telah tersedia, yang dia perlukan hanyalah mandat sekali lagi.

Abd Muis menang pada 2008 atas tiket BN-Umno, kemudian masuk Warisan selepas PH menang pada 2018, dan kemudian - setelah PN mengambil alih pemerintahan pusat - menyokong Musa dalam cubaan rampasan kuasa yang gagal dari kerajaan Warisan di Sabah.

Namun tidak seperti Osman, Abd Muis berjaya mendapat tempat bertanding sekali lagi di Sebatik, kali ini atas tiket PN - Bersatu.

Disoal berkenaan hal itu, Abd Muis memberitahu penduduk menerima penjelasannya bahawa tindakannya itu adalah untuk selari dengan perubahan yang berlaku di kerajaan persekutuan bagi memudahkan permintaan peruntukan bagi pembangunan dan kepentingan kawasannya.

Disoal apakah dia akan bertukar sokongan sekali lagi jika berlaku lagi perubahan kerajaan persekutuan, dia menjawab dia yakin perkara itu tidak akan berlaku dan menyandarkan keyakinannya ke atas pesona “abah” yang dimiliki perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Mohd Balbir Arjan

Namun, bagi salah seorang calon bebas di Sebatik, Mohd Balbir Arjan, sudah tiba masanya pengundi melakukan perubahan dan tidak lagi mengundi hanya berdasarkan lambang parti semata-mata, sedangkan wakil rakyat yang dipilih gagal melunaskan tanggungjawabnya.

Katanya yang pernah menjadi naib presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), keputusan bertanding bertemu sekutu PBS di dalam PN iaitu Abd Muis, adalah kerana Bersatu meletakkan calon yang menurutnya “ditolak” oleh orang Sebatik dan gagal membawa pembangunan setelah beberapa penggal menjadi wakil rakyat.

“Sekarang diletak lagi. Kenapa? Seolah-olah macam Bersatu ini tak punyai calon. Kalau tak ada calon, bagilah sama PBS, PBS ada calonnya. Tapi kamu mahu juga. Inilah sebabnya (saya bertanding bebas),” katanya.

Pun begitu, seperti Abd Muis, dia tidak mempunyai masalah dengan lompat parti di kalangan pemimpin, kerana katanya, wakil rakyat lazimnya dipinggirkan dari segi peruntukan jika tidak “bersekongkol” dengan kerajaan persekutuan, justeru tidak dapat menyalurkannya ke kawasan.

Yang dipintanya, hanyalah peluang untuk berbakti di kawasan yang didiaminya lebih 15 tahun itu, agar dia dapat melakukan perubahan di situ.

“Lihatlah Sebatik tu. Sekarang tahun 2020, memadaikah kawasan tu masih begitu? Dari Lahad-Lahad, ke Bergosong, sampailah ke Serundung Laut. Masuklah, lihatlah sendiri,” katanya.

“[...] Kalau kamu boleh bagi tiga penggal untuk orang tak berfaedah ini, salahkah kamu bagi saya satu penggal? Kan? Tidak salah bah kan?

“Kalau saya tak bagus, tak payah kamu buang saya, saya sendiri akan berjalan keluar. Hartaku ada dua, maruahku, namaku. Itu saja,” katanya.

Seperti Balung, Sebatik juga medan tujuh penjara antara Warisan, PN, Usno, Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), PCS dan dan dua calon bebas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS