Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PRN SABAH | Dua calon bebas Sabah yang memohon menyertai Parti Solidariti Tanah Airku (Star) bukan calon parti itu, tegas Presidennya Jeffrey Kitingan.

Bagaimanapun, beliau berharap kedua-dua calon tersebut akan menang dalam pertembungan dengan PBS.

Calon bebas di Inanam, Kenny Chua, telah diterima sebagai ahli Star, manakala penyandang kerusi Tandek, calon bebas Anita Baranting juga telah memohon untuk menjadi ahli parti.

Ini selepas 'gencatan senjata' Star dan PBS menghentikan seketika perseteruan di empat kerusi yang menyaksikan pertembingan antara kedua parti ini.

Star, yang bertanding di bawah Perikatan Nasional, sepatutnya menjadi sekutu kepada PBS di bawah naungan Gabungan Rakyat Sabah.

Jeffrey menerima borang permohanan daripada Anita Baranting.

Ditanya sekiranya penyertaan Chua dan Anita menjadi ahli Star merupakan pengkhianatan terhadap 'gencatan senjata' dengan PBS, Kitingan menjawab ia tidak bermaksud begitu.

"Tidak, mereka masih calon bebas. Mereka menyertai Star, namun bukan calon Star tetapi bebas.

"Tetapi mereka mendapat manfaat sokongan daripada ahli Star," katanya pada sidang akhbar di Tambunan hari ini.

Jeffrey berkata ini berbeza dengan tindakan PBS 'menceroboh" kerusi Star, kerana Chua dan Anita menyertai pilihan raya sebagai calon bebas.

Beliau berkata perkara betul yang perlu dilakukan adalah menerima permohonan keahlian mereka, kerana tidak ada alasan untuk menolaknya.

Ketika ditanya adakah Chua dan Anita akan menjadi wakil rakyat Star sekiranya mereka menang pilihan raya, Jeffrey berkata mereka akan menjadi ahli parti tanpa mengira hasilnya.

"Saya harap mereka menang lah," tambahnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin mengulangi rasa terkejut beliau terhadap tindakan Chua dan Anita menyertai Star.

Bagaimanapun, beliau berkata hanya mampu meminta Star dan PBS duduk semeja berunding tetapi tidak berdaya memaksakan perdamaian antara dua parti bertelagah itu.

"Saya hanya orang tengah, bukan orang yang memutuskan. Mereka yang harus memutuskan calon, bukan kami (melakukannya untuk mereka)," katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS