Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azwanddin hadir di mahkamah, waran tangkap terhadapnya batal
Diterbitkan:  Sep 25, 2020 2:01 PM
Dikemaskini: 6:01 AM

Waran tangkap terhadap Datuk Azwanddin Hamzah yang sebelum ini gagal menghadiri prosiding komital yang difailkan terhadapnya oleh bekas Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim ditarik balik oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur,  hari ini.

Hakim Datin Rohani Ismail membatalkan waran itu selepas Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) tersebut hadir pada prosiding hari ini.

Peguam Kok, Datuk Sankara Nair memberitahu pemberita, susulan kehadiran Azwanddin, mereka menarik balik permohonan prosiding komital yang difailkan terhadap aktivis badan bukan kerajaan berkenaan pada 8 Okt tahun lepas.

“Hakim akan melaksanakan waran itu kalau beliau tidak hadir di mahkamah hari ini. Memandangkan beliau hadir, kami menarik balik permohonan prosiding komital namun kami bebas untuk memfailkan semula,” katanya selepas kes didengar di dalam kamar Rohani.

Azwanddin tidak diwakili peguam.

Waran tangkap itu dikeluarkan Rohani pada 28 Ogos lepas.

Permohonan prosiding komital terhadap Azwanddin difailkan selepas beliau gagal mengemukakan permohonan maaf rasmi dalam tiga akhbar iaitu Sinar Harian, The Star dan Sin Chew Daily selain gagal membayar kos yang merupakan terma-terma penyelesaian saman fitnah yang difailkan oleh Kok terhadapnya.

Sankara bagaimanapun berkata mereka memfailkan petisyen pengisytiharan muflis terhadap Azwanddin memandangkan beliau belum melunaskan bayaran penyelesaian.

“Masih belum ada pembayaran dilakukan dalam tempoh yang sepatutnya dan beliau (Azwanddin) berkata beliau ada sedikit masalah (untuk membuat pembayaran itu), justeru kami beritahu beliau yang kami boleh menimbang perkara itu namun perlu dalam tempoh yang bersesuaian.

“Sebab itulah kami memutuskan untuk mengambil jalan kedua dengan memfailkan petisyen bagi pengisytiharan muflis pada Julai dan pendengaran ditetapkan pada 16 Nov ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Beliau mesti hadir dan memfailkan permohonan untuk membantah petisyen itu,” katanya.

Kok memfailkan saman fitnah terhadap Azwanddin kerana mengaitkan ahli politik DAP itu dengan isu tanah melibatkan Kuil Hindu Maha Mariamman di Seafield, Subang Jaya dan kes tersebut diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi pada 29 Julai lepas dengan Rohani merekodkan terma-terma penyelesaian.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS