PRN SABAH l Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal berkata Sabah sebenarnya negeri yang kaya dengan tanah yang luas, tetapi hasilnya tidak dapat dinikmati sepenuhnya oleh negeri itu.
Memberikan contoh cukai hasil kelapa sawit dan kadar royalti minyak, katanya, ada kalanya, Sabah pula yang seolah-olah harus meminta-minta bagi menikmati hasil kekayaan negeri sendiri.
“Sabah ini bukan miskin, kaya bah ini.
“Seperti disebutkan tadi, hari-hari (peneroka di Sabah) tanam kelapa sawit, baja kelapa sawit, lima tahun baru berbuah. Sudah berbuah kelapa sawit, Kuala Lumpur goyang kaki, dicukainya. Dia dapat hasil.
“Mereka (peneroka di Sabah) yang tanam, mereka yang berhujan, mereka yang berpanas, cukai Kuala Lumpur ambil,” katanya ketika berucap di Kunak bagi membantu kempen calon Warisan, Norazlinah Arif.
Menurutnya, ratusan ribu ekar tanah Sabah telah diberikan kepada Felda, tetapi ini hanya memanfaatkan hanya kira-kira 1,500 peneroka Sabah sahaja, sedangkan sebahagian besar tanah itu diuruskan oleh Felda Global Ventures (FGV) yang disenaraikan di Bursa Saham Malaysia.
Namun, katanya, Sabah kini menanggung kerugian dalam bentuk hutang ratusan juta ringgit akibat harga saham FGV yang jatuh menjunam.
“Bayangkan, kita punya tanah, mereka yang untung, kita yang rugi”.
Atas alasan itu, menurut ketua menteri, semasa mengambil alih pentadbiran Sabah pada 2018, dia cuba memberikan tanah kepada rakyat Sabah, dan memaklumkan sebanyak 11,000 geran sudah tersedia, tetapi hanya kira-kira 6,000 yang sempat diserahkan.
Ini minyak Sabah bah
Shafie juga menceritakan bagaimana dia menuntut 20 peratus royalti minyak daripada Petronas, tetapi katanya, jumlah royalti sebanyak itu didakwa boleh menyebabkan syarikat minyak berkenaan bankrap.
“Ini minyak Sabah bah ini. Bukan minyak Kuala Lumpur. Kita punya minyak, kita pula yang minta”.
Malah, dia turut menempelak sesetengah pihak yang mendakwa Sabah akan susah sekiranya tidak dibantu kerajaan persekutuan, sedangkan katanya, banyak hasil yang dinikmati oleh kerajaan persekutuan datang dari Sabah.
“Bila saya dalam BN, kita boleh hidup. Bila saya lawan BN, wah, kamu akan susah di Sabah kalau kamu tak ada kerajaan persekutuan.
“Apa mereka ingat Sabah akan susah kalau tak ada kerajaan persekutuan? Kuala Lumpur akan susah kalau tak ada Sabah ini.
“Minyak kita punya!” katanya yang turut mengungkit kejayaannya mengenakan cukai jualan 5 peratus ke atas syarikat minyak yang beroperasi di Sabah.
Untuk rekod, Sabah menerima royalti 5 peratus sejak 1976 di bawah Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974.
Royalti 20 peratus untuk negeri pengeluar minyak menjadi manifesto PH sebelum PRU lalu, dan sejak itu, ia selalu diperjuangkan oleh pemimpin Sabah berkenaan.
Justeru, Shafie meminta agar pengundi mengundi Warisan agar perubahan dapat dilakukan dan segala masalah yang merudung negeri dapat diselesaikan, antaranya masalah kemudahan asas seperti air dan elektrik.
Saya bantu gereja, saya bantu masjid
Dalam ucapannya juga, Shafie turut memberi jaminan bahawa dia tidak akan mendiskriminasi mana-mana kaum atau agama ketika mentadbir negeri.
Contohnya, kata Shafie, di bawah pentadbirannya, Sabah memberikan cuti dua hari sempena Krismas untuk penganut Kristian, sesuatu yang tidak dilakukan di negeri lain. Malah, tidak pernah diberikan oleh pemimpin Kristian BN terdahulu seperti Joseph Pairin Kitingan.
“Pasal saya tahu orang Islam cuti berapa hari - Maulidur Rasul, Hari Raya Haji dan Puasa - takanlah orang Kristian minta tambahan satu hari saya tak boleh bagi?
“Supaya mereka boleh dapat melihat anak-anak, dan anak-anak boleh menziarahi ibu bapa mereka.
“Saya bantu gereja, saya bantu masjid,” katanya.