Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis akan ketatkan penguatkuasaan susulan peningkatan kes Covid-19

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengetatkan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) susulan peningkatan kes Covid-19 di negara ini.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata pasukan pemantau telah diarahkan menahan atau memberi kompaun terhadap mereka yang melanggar SOP tanpa kompromi.

“Peningkatan kes Covid-19 di negara ini menimbulkan kebimbangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang memberi arahan kepada saya untuk mengetatkan lagi kawalan pematuhan SOP PKPP,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Selain itu, Abdul Hamid berkata pasukan keselamatan termasuk anggota terlibat sekatan jalan raya Op Benteng diingatkan agar tidak leka atau cuai semasa melaksanakan tugas menghalang pendatang asing tanpa izin yang cuba memboloskan diri masuk ke negara ini.

Pada masa sama, semua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Marin (PGM) dan Pasukan Gerakan Udara (PGU) terlibat juga dikerah menggandakan rondaan di kawasan sempadan dan perairan negara serta memperhebat sekatan jalan raya Op Benteng.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS