Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM nafi 'batal' dana RM4.2 juta untuk baiki 24 jambatan di Kg Sim-Sim

PRN SABAH | Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini menafikan telah "membatalkan" peruntukan RM4.2 juta untuk kerja-kerja baik pulih jambatan di Kampung Sim-Sim, Sandakan, sebagaimana dakwaan DAP sebelum ini.

Ketika berucap di gelanggang futsal Kampung Sim-Sim, Muhyiddin berkata beliau tidak pernah mengarahkan supaya membatalkan pemberian dana tersebut, yang dikatakan diluluskan ketika Lim Guan Eng menjadi menteri kewangan.

"Katanya waktu saya baru ambil-alih, peruntukan RM4.2 juta ditarik-balik, saya tak suruh.

"I never ask them to withdraw (saya tak pernah arah mereka tarik balik)," kata Muhyiddin di hadapan lebih 400 penyokong PN pada majlis kempen calon N56 Tanjong Papat Ken Yong Chie Man dan calon BN di kerusi N55 Elopura Chan Boon Tian.

Pada majlis sama Muhyiddin juga mengumumkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri telah meluluskan permintaan untuk "memulangkan" peruntukan RM4.2 juta kepada Kampung Sim-Sim, salah satu dari sembilan pusat daerah mengundi (PDM) di DUN Tanjong Papat.

"Jumlah RM4.2 juta untuk (memperbaiki) 24 Jambatan di Kampung Sim-Sim kita luluskan," kata perdana menteri.

Muhyiddin kemudian menyampaikan surat bertarikh 18 September yang ditandatangani Ketua Pengarah ICU Nor Azri Zulfakar kepada Pengerusi Persatuan Nelayan Sandakan Shaiful Bahari Muin.

Ketika ditemui selepas majlis, Saiful Bahari memberitahu Malaysiakini dia telah menulis kepaada ICU supaya peruntukan itu dikembalikan.

"Ia bukan ditarik-balik, cuma ditangguhkan sementara. Perkara ini diputar-belitkan," katanya.

Menurut surat kelulusan projek itu, peruntukan akan disalurkan kepada Majlis Perbandaran Sandakan melalui Pejabat Pembangunan Sabah.

Pemimpin dan calon DAP yang berkempen di Sandakan mendakwa kerajaan PN membatalkan projek kemudahan awam yang diluluskan PH, termasuklah kerja-kerja membaiki 24 jambatan di Kampung Sim-Sim.

Sebelum ini, Anggota Parlimen Sandakan, Vivian Wong berkata telah memohon peruntukan RM4.2 juta itu dan mendakwa dipersetujui oleh Lim yang melawat ke Kampung Sim-Sim semasa kempen pilihan raya kecil Mei lalu.

Bersama dengan penyandang kerusi DAP bagi DUN Tanjong Papat, Frankie Poon, Wong berkata mereka menanti peruntukan itu sampai ke Sabah, sehingga perubahan dalam kerajaan persekutuan dan permulaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada bulan Mac.

Menurut Wong lagi, Majlis Perbandaran Sandakan bulan lalu telah menjawab pertanyaannya mengenai status dana tersebut, dengan memberitahu ia telah "dibatalkan" tanpa alasan.

Poon, yang mempertahankan kerusi Tanjong Papat menghadapi calon PN Yong dan empat yang lain, berkata masalah pembaikan jambatan di Kg Sim-Sim adalah masalah yang sering kali muncul kerana jambatan di kampung air itu tidak dibina untuk bertahan lama.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS