Paling Popular
Terkini

Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pengerusi eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Dr Mohamad Salleh Ismail untuk mengemukakan rayuan dalam saman fitnahnya terhadap bekas naib presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh hakim Mahkamah Persekutuan Abdul Rahman Sebli hari ini membuat keputusan itu berikutan persetujuan antara kedua-dua pihak semasa prosising mahkamah terbuka hari ini.

Salleh merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 13 Mei tahun lalu, yang membenarkan rayuan Rafizi untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi agar dia membayar ganti rugi RM200,000 kepada Salleh atas tuduhan fitnah.

Semasa prosiding di mahkamah hari ini, peguam Salleh Muhammad Shafee Abdullah berkata kedua-dua pihak telah bersetuju agar kebenaran diberikan untuk meneruskan rayuan.

Shafee berkata ini kerana perayu dan responden ingin membangitkan isu di mahkamah persekutuan mengenai isu-isu yang tidak disentuh oleh keputusan Mahkamah Rayuan.

Peguam Rafizi, Ranjit Singh kemudian mengesahkan perkara itu dengan mengatakan bahawa antara isu tersebut adalah mengenai pembelaan terhadap komen yang adil.

Abdul Rahman kemudian membenarkan Salleh mengemukakan rayuan dengan pihak-pihak tersebut dibenarkan membangkitkan isu pembelaan komen yang adil, antara lain.

Difahamkan, mahkamah persekutuan akan menetapkan tarikh perbicaraan untuk mendengar hujah pihak-pihak terlibat mengenai merit rayuan.

Hakim lain yang bersidang hari ini termasuk hakim Mahkamah Persekutuan Zaleha Yusof dan Hasnah Mohammed Hashim.

Pada tahun 2013, Salleh dan NFCorp menyaman Rafizi atas tuduhan memfitnahnya pada 7 Mac 2012 pada sidang media di pejabat PKR mengenai pembelian harta tanah KL Eco City, yang diterbitkan oleh Malaysiakini pada hari yang sama.

Pada 31 Okt 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Rafizi membayar ganti rugi RM150,000 kepada Salleh dan ganti rugi RM50,000 kepada NFCorp setelah membenarkan saman tersebut terhadapnya.

Rafizi juga diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar kos RM100,000 kepada Salleh.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menolak saman Salleh terhadap Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS