Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Resit rasmi Umno beri sumbangan RM2j bukan dokumen palsu, kata peguam

Pasukan pembelaan Tengku Adnan Tengku Mansor memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, resit rasmi Umno bagi sumbangan RM2 juta yang dikeluarkan kepada Pengarah Urusan Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) Chai Kin Kong bukan dokumen palsu.

Tan Hock Chuan yang mengetuai pasukan itu berkata, hujah pendakwaan bahawa resit rasmi Umno itu adalah palsu tidak boleh dipertahan kerana dokumen itu sentiasa berada dalam simpanan Chai.

“Tidak pernah dipertikai bahawa anak guam saya menerima cek itu daripada Tan Sri Chai, yang juga saksi pendakwaan ke-19 (SP19), beberapa hari sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar yang diadakan pada 18 Jun 2016.

"Tan Sri Chai menerima resit rasmi itu sekitar 14 Jun 2016,” katanya.

Peguam itu berkata Chai dalam keterangannya menyatakan resit itu disimpan dalam beg duit beliau.

Tan berkata Chai - saksi utama pendakwaan - adalah saksi yang bercakap benar dan boleh dipercayai.

“Tidak ada cadangan daripada pendakwaan bahawa Tan Sri Chai ialah saksi yang tidak jujur dan tidak bercakap benar. Keterangan beliau adalah jelas dan konsisten,” kata peguam itu ketika berhujah di akhir pembelaan.

Tan juga berhujah semasa pemeriksaan balas terhadap tertuduh pendakwaan mencadangkan bahawa resit rasmi Umno bagi sumbangan RM2 juta itu adalah dokumen palsu.

“Pendakwaan mencadangkan bahawa nombor siri 376241 (resit itu) bagi jumlah RM2 juta bertarikh 14 Jun 2016 adalah satu anomali.

"Pendakwaan turut mencadangkan semasa tertuduh ditahan pada 14 Nov 2018, resit seterusnya yang bernombor 376242 adalah bertarikh 16 Nov 2018,” katanya sambil menambah bahawa semua cadangan itu telah dinafikan anak guamnya.

Selalu disimpan di ibu pejabat

Peguam itu berkata resit rasmi Umno dikeluarkan kepada Chai bagi cek yang diberikan kepada Umno sebagai sumbangan politik bagi membiayai PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Dia berkata seorang lagi saksi pendakwaan iaitu Farahdzilah Abd Kadir (SP21), yang juga Timbalan Ketua Jabatan Pengurusan Kewangan di Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra jelas memberi keterangan bahawa resit rasmi Umno dan buku resit itu sering digunakan dan ia boleh diakses oleh banyak pihak.

“Ini boleh menjelaskan mengapa tarikh dalam buku resit itu tidak mengikut urutan,” kata Tan.

Dia berhujah keterangan Farahdzilah disokong oleh tertuduh yang menyatakan bahawa berdasarkan amalan biasa, resit rasmi Umno akan dikeluarkan bagi sumbangan yang diterima oleh parti berkenaan.

Tan berkata berdasarkan penyataan saksi Tengku Adnan, tertuduh menyatakan bahawa jika sumbangan dibuat kepada Umno negeri, resit akan diuruskan Umno negeri bukan ibu pejabat Umno.

Dia berkata buku resit rasmi Umno selalunya disimpan di ibu pejabat Umno.

“Tengku Adnan berkata kakitangan Jabatan Kewangan dan Jabatan Pentadbiran di ibu pejabat Umno mempunyai akses kepada buku resit rasmi.

"Tidak ada kawalan ketat ke atas buku resit rasmi, jadi kakitangan lain turut mempunyai akses kepada buku resit rasmi,” katanya.

Tan juga berkata apabila tertuduh menerima cek RM2 juta daripada Chai pada 14 Jun 2016, tarikh itu begitu hampir dengan PRK pada 18 Jun 2016.

“Adalah logik bahawa Tan Sri Chai menerima resit rasmi Umno pada atau sekitar 14 Jun 2016,” katanya sambil menambah bahawa pendakwaan gagal membuktikan melampaui keraguan yang munasabah bahawa resit rasmi Umno itu adalah satu dokumen palsu.

Tengku Adnan, 69, juga dikenali sebagai Ku Nan, didakwa dalam kapasitinya sebagai penjawat awam, iaitu Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, menerima suapan untuk dirinya sendiri sebanyak RM2 juta daripada Chai menerusi cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang kemudian dideposit ke dalam akaun CIMB Bank Tadmansori Holdings Sdn Bhd, yang beliau mempunyai kepentingan, sedangkan diketahui bahawa Aset Kayamas mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 14 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Tengku Adnan membela diri selepas memutuskan bahawa pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadapnya dalam kes itu.

Tengku Adnan memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang tertuduh apabila prosiding membela diri bermula pada 17 Jan lepas dan mengakhiri keterangannya pada 5 Mac.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS