Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PRN Sabah: Ceramah di zon merah terhad untuk 30 orang
Diterbitkan:  Sep 23, 2020 5:12 PM
Dikemaskini: 9:12 AM

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenakan peraturan baru bagi kempen pilihan raya Sabah yang diadakan di "zon merah" untuk mengekang penyebaran Covid-19.

Dalam satu kenyataan hari ini, SPR mengatakan bahawa aktiviti ceramah kini diterhadkan untuk 30 hadirin dan hanya dua individu dari jentera kempen dibenarkan masuk ke rumah pengundi untuk berkempen.

Calon juga digalakkan untuk berkempen secara dalam talian.

"Zon merah" merujuk kepada daerah dengan lebih daripada 40 kes Covid-19 yang disahkan.

Setakat semalam, terdapat tiga daerah di Sabah yang jatuh pada kategori itu.

Daerah yang mempunyai kes aktif paling tinggi adalah Tawau (435) diikuti Lahad Datu (91) dan Semporna (47).

Walaupun sebilangan besar kes aktif di Sabah Tenggara berkaitan dengan kluster dari penjara, terdapat kes sporadis yang dikesan di daerah lain.

Pada masa ini, terdapat 10 "zon kuning" (daerah yang mempunyai 40 kes atau kurang) di negeri itu dan 12 daerah selebihnya adalah "zon hijau" (tiada kes).

Kempen pilihan raya Sabah yang sedang berlangsung telah menyaksikan beberapa individu dari jentera kempen dijangkiti Covid-19 dan sekurang-kurangnya tiga calon turut dikuarantin.

PRN Sabah akan berlangsung Sabtu ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS