Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jutaan rakyat AS mungkin perlu bayar vaksin Covid-19

Jutaan penduduk Amerika Syarikat (AS) mungkin perlu membayar untuk mendapatkan vaksin COVID-19, bertentangan dengan rancangan pihak berkuasa memberikannya secara percuma.

Ia berikutan insurans kesihatan Medicare yang dibiayai kerajaan untuk warga tua tidak menanggung kos ubat yang diluluskan di bawah kegunaan semasa kecemasan, lapor agensi berita Sputnik, memetik akhbar Wall Street Journal (WSJ).

Dengan tercetusnya pandemik COVID-19, Kongres AS pada Mac meluluskan Undang-Undang Bantuan dan Keselamatan Ekonomi Koronavirus (CARES), bertujuan menyediakan bantuan dan langkah-langkah keselamatan ekonomi termasuk kos vaksin COVID-19.

Pada masa sama, memandangkan Medicare tidak menanggung kos untuk ubat-ubatan yang diluluskan di bawah penggunaan kecemasan, Rumah Putih menyedari ia akan menyebabkan jutaan warga AS terpaksa menggunakan duit sendiri bagi mendapatkan suntikan, yang kerajaan berhasrat memberikannya secara percuma.

Sehingga kini, kira-kira 44 juta orang - sekitar 15 peratus penduduk AS - dilindungi Medicare.

Menurut akhbar itu lagi, pentadbiran presiden AS mungkin menggesa Kongres membuat pindaan Akta CARES bagi membolehkan vaksin untuk digunakan ketika kecemasan diberikan secara percuma, tetapi tidak dapat dipastikan sama ada pindaan itu dapat dibuat sebelum vaksin diluluskan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS