Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sokongan seteru bantu calon PN di Klias
Diterbitkan:  Sep 22, 2020 12:56 PM
Dikemaskini: 5:03 AM

PRN SABAH l Momentum sokongan pengundi terhadap penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias Datuk Isnin Aliasnih dilihat semakin bertambah, apatah lagi mendapat sokongan daripada seteru dan bekas penyandang kerusi tersebut.

Calon Perikatan Nasional (PN) dari Bersatu itu berkata beliau kini mendapat sokongan sepenuhnya daripada bekas presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) Datuk Lajim Ukin yang pernah menjadi seteru pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 2013 dan PRU14 pada 2018.

"Sebelum ini saya bertanding dengan Lajim dan calon Parti Warisan Sabah (Warisan), tetapi kali ini Warisan tidak bertanding, Lajim pula sudah bersama dengan saya," katanya kepada Bernama.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Pengajaran Bahasa Melayu sebagai Bahasa Pertama Universiti Putra Malaysia (UPM), Isnin, 55, akui pada mulanya rakyat agak 'samar-samar' dengan perjuangan PN.

Namun selepas penjelasan diberikan semasa berkempen, Isnin berkata sokongan kepada beliau dan PN kian bertambah baik.

Dalam pada itu, Isnin mengakui kempen dari rumah ke rumah tidak akan dapat menjangkaui sejumlah 16,905 pengundi DUN Klias.

"Ini kali ketiga saya bertanding dan penduduk di sini sudah dapat menilai kebolehan saya dan harap mereka tidak teragak-agak untuk memberi sokongan kepada saya.

"Saya juga sentiasa berada di kampung, walaupun saya di Kota Kinabalu, tetapi tengah malam saya pasti akan pulang ke sini (Takuli)," kata anak jati Kampung Takuli itu yang menggunakan bahasa Bisaya apabila bertemu dengan penduduk di Takuli.

Sementara itu, Lajim yakin terhadap penerimaan Isnin sebagai wakil rakyat berdasarkan sokongan memberangsangkan daripada pengundi semasa kempen dari rumah ke rumah.

“”Mereka (pengundi) tahu ada keperluan untuk Isnin menang kerana sehaluan dengan kerajaan Persekutuan dan inilah menjadi kekuatan kepada calon PN, “ kata bekas ADUN Kilas dua penggal itu.

Beliau berkata kemampuan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengendalikan masalah pemulihan ekonomi, politik dan pandemik COVID-19 akan memberi keyakinan kepada rakyat Sabah untuk memberi kepercayaan kepada calon PN.

Dalam pilihan raya negeri Sabtu ini, Isnin akan berdepan pertandingan enam penjuru melibatkan calon PKR Abdul Rahman Md Yakub, Maksit Saidi (Gagasan), Abdullah Okin (PCS), Amsir Dani (USNO) dan calon Bebas, Jismit Japong.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS