mk-logo
Berita
Nestle akan tanam 3 juta pokok dalam masa 3 tahun di M'sia
Diterbitkan:  Sep 21, 2020 11:08 PM
Dikemaskini: 3:20 PM

Menanam tiga juta pokok di hutan rosot dan rosak (degraded forest) negara dalam masa tiga tahun akan datang menjadi matlamat Nestle (Malaysia) Bhd.

Hari ini, syarikat itu mengumumkan komitmennya sebanyak RM6 juta setiap tahun melalui Project RELeaf.

Ia merupakan inisiatif penghutanan semula hutan di Malaysia yang menyumbang kepada janji global syarikat untuk mencapai sifar pelepasan gas rumah hijau pada tahun 2050.

Projek ini antara ikhtiar Nestle untuk memulihkan ekosistem hutan, menyumbang untuk mewujudkan koridor hidupan liar, mengurangkan konflik manusia-haiwan dan melindungi sumber bekalan air yang kritikal.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nestle Malaysia Juan Aranols dipetik portal Theedgemarket.com berkata, janji syarikat untuk mencapai sifar pelepasan gas rumah hijau menjelang 2050 mencerminkan hasratnya menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau.

"Dengan memulihkan ekosistem hutan yang kritikal, kami akan membantu memelihara ekosistem dan melindungi kepelbagaian biologi. Ini penting untuk memastikan kelestarian rantaian bekalan sambil melindungi alam sekitar kerana kedua-dua elemen saling berkaitan.

"Perkara itu akan memungkinkan kami untuk terus memberi kesan positif kepada planet dan manusia kerana kami akan terus memperkasakan masyarakat setempat dan menyokong penghidupan melalui pembelian anak benih dan penglibatan mereka dalam aktiviti penanaman," katanya sempena pelancaran Projek RELeaf Nestle Malaysia di Taman Rimba Alam di Putrajaya.

Nestle, memperuntukkan sekitar RM6 juta setahun untuk projek itu, akan menanam tiga juta pokok di seluruh kawasan pemulihan di Hutan Kinabatangan dan Hutan Merisuli di Sabah, serta di hutan simpan di sepanjang Central Forest Spine di Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah ketika merasmikan Projek RELeaf hari ini berkata usaha memperkenalkan pensijilan hutan dalam mematuhi kelestarian hutan di Malaysia bermula seawal tahun 1994 apabila kriteria dan petunjuk bagi pengurusan hutan secara mapan dirumuskan.

Katanya, Malaysia komited untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan tanah negara diliputi hutan dan pokok, selaras dengan komitmen negara di Sidang Kemuncak Bumi, di Rio de Janeiro pada 1992 melalui pengurusan hutan secara mapan (SFM)..

“Dengan lebih daripada 50 peratus tanah diliputi hutan dan pokok, hutan Malaysia dapat membantu mengehadkan kenaikan suhu global ke bawah dua darjah Celsius," katanya.

Jelasnya, pada masa ini, litupan kawasan berhutan di Malaysia seluas 18.27 juta hektar atau 55.31 peratus daripada keluasan tanah negara.

Nestle Malaysia akan bekerjasama dengan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Jabatan Perhutanan Sabah, Malaysian Nature Society, Pusat Pemuliharaan dan Penyelidikan Hutan Hujan Tropika dan Projek Pemuliharaan Orangutan Kinabatangan, penanam sawit, komuniti tempatan serta usahawan berasaskan komuniti dalam pengeluaran benih dan operasi penanaman pokok.

Project RELeaf ini kesinambungan daripada Projek Kinabatangan RiLeaf, dengan kerjasama Yayasan Sime Darby dan Jabatan Perhutanan Sabah yang telah berjaya menanam satu juta pokok di lebih dari 2,700 hektar hutan yang telah rosot dan rosak setakat September 2020.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS