Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes Zahid ditangguh bagi tunggu keputusan ujian Covid-19

KES ZAHID | Perbicaraan kes rasuah pengubahan wang haram dan pecah amanah terhadap Ahmad Zahid Hamidi berkaitan Yayasan Akalbudi ditangguhkan sementara menunggu keputusan ujian kedua Covid-19 bekas timbalan perdana menteri itu.

Penguam bela Hamidi Mohd Noh hari ini memberitahu mahkamah bahawa Zahid membuat ujian Covid-19 di KPJ Tawakal Kuala Lumpur hari tengah hari tadi.

"Ujian pertama rapid antigen RPT) mendapati (Zahid) negatif. Namun beliau membuat ujian kedua 'swab test' dan keputusan belum keluar. Maka saya meminta mahkamah menagguhkan perbicaraan pada hari ini dan esok sehingga keputusan kedua keluar," katanya.

Hamidi memaklumkan bahawa keputusan ujian kedua akan diperoleh dalam masa 24 jam.

Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran kemudian memberitahu bahawa pihaknya tiada bantahan atas permohonan penangguhan itu namun meminta pihak peguam memaklumkan keputusannya secepat mungkin.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menangguhkan perbicaraan selama dua hari dan berkata bahawa prosiding akan sambung semula pada Isnin depan, tertakluk kepada keputusan ujian kedua Zahid Hamidi.

Difahamkan Zahid mem buat ujian Covid-19 sebagai langkah berjaga-jaga selepas melawat Sabah bagi membantu kempen BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah jenayah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Dalam pertuduhan pecah amanah, dia dituduh menyeleweng RM31 juta dana Yayasan Akalbudi - yang mana dia merupakan pengasas, pemegang amanah, dan penandatangan tunggal.

Melalui jejak aliran tunai yang dibentangkan kepada mahkamah sebelum ini, pihak pendakwaan cuba membuktikan bahawa satu amaun besar milik yayasan itu digunakan untuk, antara lain, membayar bil kad kredit peribadi, membeli polisi insurans kenderaan-bermotor dan membeli cukai jalan untuk kenderaan milik peribadi.

Pasukan pendakwaan diketuai Raja Rozela Raja Toran manakala pasukan pembelaan diketuai Hisyam Teh Poh Teik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS