Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suhakam mula pantau perjalanan PRN Sabah hari ini
Diterbitkan:  Sep 21, 2020 11:28 AM
Dikemaskini: 3:28 AM

PRN SABAH| Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan memantau perjalanan pilihan raya negeri (PRN) bermula hari ini sehingga hari mengundi pada 26 Sept.

Dalam satu kenyataan, Suhakam berkata dapatan daripada hasil pemantauan itu akan dikongsikan dengan orang ramai sehari kemudian.

Untuk menjayakan usaha itu, Suhakam berkata, satu pasukan terdiri daripada 30 orang akan menjalankan pemantauan di beberapa kawasan berdasarkan prinsip hak asasi manusia dan demokrasi.

“Suhakam telah menjalankan pemantauan pilihan raya di Malaysia termasuk pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada Mei 2018.

“Dengan pengalaman daripada pemantauan pilihan raya sebelum ini, pasukan Suhakam yang terdiri daripada lebih kurang 30 orang termasuk pesuruhjaya, kakitangan dan sukarelawan, akan menjalankan pemantauan di beberapa kawasan PRN di Sabah,” kata kenyataan itu.

Kawasan yang akan dipantau sepanjang tempoh berkenaan ialah Matunggong, Bandau, Karambunai, Darau, Kepayan, Moyog, Membakut, Kuala Penyu, Sook, Nabawan, Gum-Gum, Sungai Manila, Kemabong, Melalap, Bugaya, Sulabayan, Senallang, Kukusan, Tanjung Batu, Pantai Dalit, Sulaman, Inanam dan Api-Api.

Pada masa sama Suhakam juga mengalu-alukan maklumat daripada pengundi berhubung sebarang pelanggaran peraturan pilihan raya sepanjang tempoh PRN itu dijalankan.

Pengundi boleh berbuat demikian dengan menghubungi pejabat Suhakam Sabah di talian 088-317405 atau 019-3245650.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS