Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRN: Jk kabinet akan bincang kes Covid-19 naik di Sabah
Diterbitkan:  Sep 20, 2020 8:27 PM
Dikemaskini: 12:27 PM

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perbincangan mengenai perkara tersebut akan dibuat pada mesyuarat mingguannya Selasa ini.

“Kita memang mengadakan mesyuarat mingguan mengenai isu Covid-19. Tetapi mengenai peningkatan kes di Sabah ini akan dibincangkan pada Selasa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Ziarah Kasih di Sekong dekat Sandakan.

Dalam perkembangan terkini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 52 kes positif Covid-19 yang dilaporkan di negara ini dalam tempoh 24 jam lepas, 36 kes dilaporkan di Sabah.

Setakat semalam, terdapat satu kes positif di Sandakan, tiga kes positif bagi kluster Bakau di Semporna, 399 kes positif di Tawau dan 551 kes positif kluster Benteng Lahad Datu.

Mengulas mengenai dakwaan terdapat seorang pemimpin parti politik dari Semenanjung dikatakan positif Covid-19 semasa berkempen di Sabah, Ismail Sabri berkata beliau tidak menerima laporan rasmi mengenai perkara itu setakat ini.

“Jika perkara itu benar, individu itu perlu menjalani kuarantin dan perlu menjalani rawatan sehingga pulih sepenuhnya sebelum pulang ke Semenanjung,” katanya.

Ismail Sabri mengingatkan orang ramai, termasuk ahli politik yang ke Sabah untuk berkempen semasa pilihan raya ini supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS