Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Sekian lama naik bot ke sekolah, penduduk Pulau Berhala mahu sekolah dibina

PRN SABAH | Senyuman dan pandangan penuh tanda tanya menyambut ketibaan penyandang kerusi DUN Tanjong Papat, Frankie Poon dan pasukannya di Pulau Berhala.

Terletak di pantai barat Sandakan, ia merupakan satu daripada sembilan pusat daerah mengundi (PDM) di DUN tersebut.

Majoriti penduduk pulau itu berketurunan Bajau dengan kebanyakannya adalah generasi kedua dan ketiga, merangkumi warga negara dan mereka yang tidak memiliki status itu.

Sejumlah kanak-kanak dan remaja mengikuti acara kempen Poon di sana semalam, kelihatan gembira dan ceria termasuk ketika lagu tema Warisan dimainkan.

Keadaan berbeza pula dengan penduduk yang lebih tua yang menyuarakan keresahan sama - akses pendidikan yang terhad serta masa depan anak-anak mereka.

Meskipun pelajaran asas diberi di kemudahan yang dikendalikan anggota tentera, sekolah rendah dan menengah terdekat adalah di Sandakan dengan bot sebagai satu-satunya kaedah perhubungan.

Ketika ditemui pasukan kempen Poon, beberapa penduduk kampung mengakui terdapat penambahbaikan sejak PRK Sandakan tahun lalu, terutama dari segi kemudahan asas.

Panel tenaga solar telah dipasang untuk membekalkan tenaga elektrik, begitu juga dengan menara air untuk menyimpan dan menapis air bersih.

Sebelum itu, penduduk kebanyakannya bergantung kepada penjana kuasa diesel dan telaga.

Bagaimananpun mereka memaklumkan akses kepada pendidikan formal kepada menjadi isu yang tidak ditangani mana-mana kerajaan.

Penjual buah-buahan Crecencin Bolkin berkata dia bergelut untuk menghantar lapan anaknya ke sekolah di tanah besar dan melihat cucunya turut melalui kitaran sama.

"Saya rasa perlu ada sekolah. Kesian juga cucu-cucu saya. Musim tengkujuh begini, susah mereka naik bot," katanya ketika ditemui Malaysiakini.

"Mereka perlu bayar (tambang bot), ibu bapa mereka perlu bayar kalau mahu temankan mereka.

Crecencin Bolkin

"Saya pernah rasakan (perkara sama) dengan lapan anak saya, sampai ada yang masuk universiti.

"Mereka mahu keluar dari kongkongan (kitaran) ini," katanya lagi.

'Tiada perubahan langsung'

Perjalanan dari Pulau Berhala ke jeti berdekatan pasar Sandakan mengambil masa 15 minit.

Ada juga tempat mendarat yang lebih kecil yang menghubungkan pulau lima hektar itu dengan perkampungan nelayan Sim-Sim. Di sekitarnya terdapat sekurang-kurangnya tiga sekolah rendah.

Lahir dan membesar di Pulau Berhala, Damsah mengeluh berkenaan tiadanya perubahan dalam soal akses kepada pendidikan formal.

"Semua sama sahaja," kata lelaki berusia 35 tahun itu berkenaan zaman persekolahannya dan cabaran yang perlu dihadapi generasi lebih muda.

"Memang sentiasa susah. Kanak-kanak perlu bayar (tambang) untuk ke bandar, dan ada kala tiada pengangkutan.

"Tiada perubahan langsung," katanya kepada Malaysiakini.

Bagi yang mampu untuk membelanjakan tambang harian ke Sandakan, sambungan internet dan elektrik yang terbatas menyebabkan mereka tidak dapat mengikuti kelas dalam talian ketika perintah kawalan pergerakan.

Seorang warga emas yang memperkenalkan diri sebagai Pak Utuk, berkata soal bekalan elektrik memang antara perkara penting, tetapi pembinaan sebuah sekolah di pulau itu patut menjadi keutamaan mana-mana pihak yang menang pilihan raya nanti.

Menurutnya, pelajar perlu membelanjakan tambang RM10 sehari - satu jumlah yang cukup tinggi buat golongan nelayan tempatan.

Dengan purata pendapatan bulanan kurang RM1,000, seperti yang dilaporkan, belanja RM200 diperlukan untuk menghantar seorang anak ke sekolah.

"Di mana kami nelayan nak dapatkan wang itu?

"Buatlah sekolah di sini, kerana ada lebih 100 kanak-kanak dalam satu-satu masa. (Sesi) pagi boleh 100 lebih (murid), (sesi) tengah hari pun 100 lebih," katanya sambil membangkitkan ada kawasan pedalaman lain yang memiliki sekolah walau dengan jumlah murid yang lebih kecil.

"Saya benar-benar minta pada YB Frankie, ketua menteri kami. Jika mereka (Warisan) menang, bina sekolah di sini.

Pak Utuk

"Supaya memudahkan kami, seringgit pun boleh ke sekolah, 50 sen pun boleh. Kini ulang alik RM10, (dan masih) tak cukup," kata Pak Utuk yang juga pemimpin masyarakat Bajau dengan lebih 50 ahli keluarga - termasuk mereka yang tidak berstatus warga - di Pulau Berhala.

Terdahulu, dilaporkan 60 peratus daripada 3,400 penduduk di pulau itu berstatus warga, dengan 1,100 adalah pengundi berdaftar.

Baki 40 peratus pula adalah penduduk tanpa dokumen atau pemegang kad IMM12 - iaitu dokumen pengenalan yang dikeluarkan kerajaan persekutuan kepada pelarian yang membataskan pergerakan mereka hanya di Sabah dan Labuan.

Penduduk Kampung Pulau Berhala yang ditemui Malaysiakini ketika PRK lalu turut membangkitkan masalah status warganegara yang belum selesai, walaupun kalangan itu lahir dan membesar di situ.

[Baca berita asal]

Berita berkaitan:

Orang Pulau Berhala yang wujud tapi 'tak kelihatan'

'Anak cucu kami akan mati di sini, tapi kami takut ke Sandakan'


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS