Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Di sebalik pertembungan sesama sendiri PN di Sabah

Pada hari penamaan calon pilihan raya negeri (PRN) Sabah, didapati pakatan Perikatan Nasional-BN-PBS, juga dikenali Gabungan Rakyat Sabah, akan bertembung sesama sendiri di 17 daripada 73 kerusi.

Kebanyakan pertembungan itu melibatkan PBS, yang pada saat akhir memutuskan untuk bertanding di 22 kerusi dan bukannya 15 yang diperuntukkan, termasuk di kerusi yang menyaksikan pertembungan BN dan PN.

Ini meningkatkan jumlah pertembungan dari 11 kepada 17 dengan 15 daripadanya melibatkan PBS.

Timbalan Presiden PBS Radin Malleh, dalam satu wawancara, memberitahu Malaysiakini bahawa ia berlaku disebabkan oleh ketegangan dengan presiden Star Jeffrey Kitingan.

Dia mengatakan hubungan dengan parti itu merosot di tengah rundingan sehinggakan ada insiden di mana terdapat pihak yang menolak untuk bersalaman, malah melangkah keluar.

"Saya mewakili PBS dan saya harus menjelaskan kepada orang ramai bahawa kami tidak melanggar perjanjian kami (langgar)," katanya.

Radin menjelaskan bahawa pada 6 September, hampir seminggu sebelum hari penamaan calon pada 12 September, perjanjian telah dibuat untuk Star bertanding menggunakan logo PBS.

Ini akan menyebabkan PN di Sabah hanya mempunyai dua pihak, iaitu Bersatu dan SAPP.

Selain itu, SAPP juga bukan sebahagian daripada kerajaan persekutuan pimpinan PN.

Sementara itu, Umno, MCA dan PBRS akan menggunakan logo dacing BN.

"Tetapi pada 8 September, di Putrajaya, saya terkejut dia (Jeffrey) membuat U-turn. Dia mahu menggunakan logo PN dan tidak lagi bersama kami. Apa yang boleh saya katakan?" katanya.

Radin berkata Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin juga cuba meyakinkan PBS untuk menggunakan logo PN tetapi dia mengatakan kedudukan PBS sudah jelas sejak awal - mereka mahu bendera PBS sekali lagi berkibar di Sabah.

 

Radin berkata PBS mengambil keputusan itu dengan tegas. Dalam pertemuan itu diputuskan bahawa PBS akan bertanding 17 kerusi walaupun telah meminta 25 kerusi.

Sementara itu, Bersatu akan bertanding 17 kerusi, tujuh untuk Star dan tiga untuk SAPP dengan 29 selebihnya diberikan kepada BN.

"Tetapi pada 9 September, semasa pertemuan di Hotel Shangrila, Kota Kinabalu, ia diubah lagi.

"Kerusi kami dikurangkan menjadi 15 ," kata Radin.

Dua kerusi yang tidak diberikan kepada PBS adalah Liawan dan Pintasan yang masing-masing diperuntukkan kepada Star dan Bersatu.

Pada pertemuan itu, Radin mengatakan Jeffrey juga menuntut kerusi DUN Bengkoka, yang akan menyebabkan PBS hanya bertanding di 14 kerusi.

"Itu bukan rundingan yang tegang tetapi dengan lembut. Kami berkata: 'tolong jangan' tetapi dia berkata 'Tidak, tidak, tidak, jika mereka tidak mendapatkannya mereka akan tetap bertanding.

"Ketika kami meninggalkan pertemuan pada pukul 2.15 pagi (pada 10 September), saya berjabat tangan dengan semua orang dan ketika saya ingin berjabat tangan, dia (Jeffrey) tidak mahu dan memalingkan wajahnya," katanya.

Dia juga menyatakan bahawa Jeffrey telah keluar dari rundingan sebelumnya.

Malaysiakini sudah menghubungi Jeffrey untuk mendapatkan ulasan.

 

Radin menambah bahawa keadaan itu dirumitkan lagi oleh keinginan Umno untuk menjadi dominan dengan bertanding di kerusi terbanyak walaupun PBS mahukan pembahagian yang sama.

"Kami mengatakan dalam pertemuan itu bahawa kami wajar, realistik dan praktikal. Kami meminta kawasan berdasarkan penilaian kami - kekuatan, layanan kepada rakyat, akar umbi - semua aspek," katanya.

Radin menambah bahawa pada hari penamaan calon, dia juga mengetahui dari Presiden SAPP Yong Teck Lee bahawa Umno juga akan meletakkan calon di kerusi PBS.

Kerusi itu adalah Melalap, yang akan ditandingi oleh Radin.

Umno meletakkan Jamawi Jaafar, salah satu individu utama yang terlibat dalam cubaan rampasan kuasa daripada Warisan yang seterusnya mencetuskan PRN.

Mengambil kira keadaan itu, PBS akhirnya memutuskan untuk bertanding di 22 dari 25 kerusi yang diminta pada awalnya, bukannya 15 yang diperuntukkan.

Radin memimpin kempen PBS sebagai pengarah pilihan raya.

Presiden PBS Maximus Johnity Ongkili, yang mempunyai masalah kesihatan, tidak lagi bertanding, menjadikan Radin sebagai pegawai PBS paling kanan untuk bertanding dalam pilihan raya.

PN bertanding 29 kerusi merangkumi 19 untuk Bersatu, lapan untuk Star dan dua untuk SAPP sementara BN bertanding 41 kerusi yang terdiri daripada 32 untuk Umno, lima untuk PBRS dan empat untuk MCA.

Kempen bermula pada 12 September dan hari pengundian adalah pada 26 September.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS