Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rakyat Sabah akan tolak pihak mahu teruskan projek Empangan Papar, kata NGO

Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang membantah pembinaan empangan Kaiduan di Papar iaitu Gerakan Bantahan Empangan Kaiduan/Papar (Takad) sekali lagi mendesak kerajaan negeri membatalkan projek empangan bernilai RM3 bilion itu.

Pengerusinya, Diana Sipail berkata ini kerana rakyat akan bertindak menolak kerajaan dan sesiapa sahaja yang bakal memerintah negeri itu sekiranya berhasrat mahu meneruskan projek terbabit.

“Kami tidak mahu kerajaan yang menyokong Empangan Papar,” tegas Diana dalam satu kenyataan.

Kenyataan Diana itu hadir ketika kempen pilihan raya negeri (PRN) Sabah sedang rancak berlangsung.

Projek Empangan Papar sebelum ini dikenali sebagai Empangan Kaidun yang diusulkan oleh kerajaan BN pada 2008. Bagaimanapun Warisan memutuskan untuk meneruskan projek mega itu walaupun telah berjanji untuk membatalkannya setelah mengambil alih kerajaan negeri pada 2018.

Mohd Shafie Apdal

Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan negeri memutuskan untuk meneruskan pembinaan empangan itu walaupun terdapat bantahan daripada masyarakat tempatan.

Kata Shafie sebelum ini, empangan itu diperlukan untuk membekalkan air kepada penduduk Sabah yang semakin meningkat, serta untuk industri pelancongannya.

Shafie berkata demikian pada Oktober 2018 lalu.

Sementara itu, Diana dalam sebuah webinar sebelum ini juga mendesak Shafie yang juga ketua menteri sementara untuk tidak membuat keputusan terburu-buru.

"Kami mendesak semua calon yang bertanding di kawasan pilihan raya (Moyog) atau sesiapa sahaja yang bertanding di Sabah, memandang serius permintaan rakyat untuk membatalkan pembinaan empangan ini," katanya.

Terdahulu, dilaporkan Parti Liberal Demokratik (LDP), yang bertanding di 46 kerusi PRN Sabah, juga berjanji untuk membatalkan projek empangan tersebut jika memenangi PRN kali ini.

Parti Cinta Sabah (PCS) yang bertanding di semua 73 kerusi dan Parti Progresif Sabah (SAPP) juga dilaporkan menentang projek empangan tersebut.

"Empangan Papar ini juga akan membawa ancaman banjir di tujuh buah kampung di Ulu Papar di Daerah Penampang sementara menyebabkan dua kampung lain dipindahkan kerana terlalu dekat dengan Sungai Papar," katanya.

Gerakan Bantahan Empangan Kaiduan/Papar (Takad)

Projek ini juga memusnahkan banjaran Crocker, yang diisytiharkan sebagai rizab biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2014, tambah Diana.

Menurut Diana, Orang Asal Sabah mempunyai hak yang sama seperti warganegara Malaysia yang lain termasuk yang mendiami di kampung ataupun bandar, contohnya hak kepada kehidupan dan hak kepada harta benda seperti yang tertakluk dalam Perlembagaan Malaysia.

Sungai dan hutan adalah warisan harta benda nenek moyang masyarakat Orang Asal Ulu Papar.

Oleh itu, Diana berkata pemimpin kerajaan perlu peka dengan prinsip asas orang asli dan tidak membuat keputusan yang tidak bertanggungjawab yang mempengaruhi penduduk asli.

"Kami ingin mengingatkan kerajaan dan sesiapa sahaja yang bakal memerintah Sabah bahawa peranan kerajaan adalah sebagai pemegang amanah aspirasi dan warisan penduduknya. Ingatlah bahawa Sabah itu adalah negeri yang kaya dengan alam sekitar dan Orang Asal yang menjadi identiti.

Sungai Papar

“Pembinaan empangan mega ini juga menunjukkan ketidakpekaan pemimpin-pemimpin terhadap alam sekitar dan hak Orang Asal secara keseluruhan di Sabah dan Malaysia.

"Kegagalan untuk melindungi aspirasi dan warisan ini akan menyebabkan Perjanjian Malaysia 1963 sebagai perlindungan aspirasi orang Sabah tidak bermakna,” kata Diana.

Projek Empangan Papar yang bernilai RM2 bilion akan melibatkan ketinggian antara 150 hingga 200 meter dan akan menenggelami kawasan seluas 522 hektar.

Takad membantah projek itu atas sebab ia akan menenggelami tanah adat dan kampung yang didiami masyarakat peribumi negeri itu, selain memusnahkan hutan.

Selain itu, Takad berkata lebih 3,000 orang peribumi di daerah Penampang dan Papar perlu berpindah ke kawasan lain, seterusnya akan mengubah gaya hidup mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS