Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM tak patut ugut rakyat Sabah, kata calon PKR
Diterbitkan:  Sep 19, 2020 1:16 PM
Dikemaskini: 6:33 AM

PRN SABAH | Calon-calon PKR yang bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah menyatakan rasa terkilan terhadap kenyataan perdana menteri Muhyiddin Yassin bahawa akan ada lebih banyak bantuan disalurkan sekiranya pengundi Sabah memilih parti kerajaan persekutuan.

Tujuh calon PKR yang diketuai pengerusinya, Christina Liew berkata Muhyiddin sepatutnya menghormati semangat federalisme.

"Sekiranya perdana menteri tidak mampu menjunjung semangat federalisme, menjadi perdana menteri untuk semua negeri, sewajarnya perdana menteri meletak jawatan.

"Perdana menteri tidak harus mengugut rakyat Sabah dengan mengeluarkan kenyataan sebegini. Rakyat Sabah juga memahami budaya "Cash is King" yang cuba dibawa oleh kerajaan persekutuan.

"Kami yakin rakyat Sabah cukup matang untuk menolak politik helah yang cuba dimainkan oleh kerajaan persekutuan," kata mereka.

Kenyataan itu dikeluarkan Liew yang mempertahankan kerusi Dun Api-Api, Mustapha Sakmud (Tempasuk), Petro Galim (Inanam), Abdul Rahman Yakub (Klias), Raymond Ahuar (Sook), Alijus Sipil (Tamparuli) dan Sazlye Donol Abdullah (Matunggong).

Muhyiddin semasa lawatan ke Kudat semalam dipetik sebagai berkata bahawa kerajaan Persekutuan hanya dapat memberi bantuan kepada Sabah setakat yang diwajibkan dalam Perlembagaan Persekutuan kerana kerajaan negeri tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan.

"Kita bantu tetapi bantuan itu setakat mana kita diwajibkan oleh Perlembagaan Negara, itu hak orang Sabah," katanya.

Keputusan PRN Sabah sangat penting bagi Muhyiddin kerana ia akan menjadi  panduan kepadanya untuk mengadakan pilihan raya umum lebih awal.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Sept ini sebagai hari mengundi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS