Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi: Amanah itu 'anak derhaka PAS'
Diterbitkan:  Sep 19, 2020 10:53 AM
Dikemaskini: 2:54 AM

PRN SABAH | "Amanah itu anak derhaka," kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang membidas kenyataan pemimpin Warisan yang menyifatkan Amanah ibarat "anak" kepada PAS.

Beliau dipetik Sinar Harian berkata kenyataan itu menunjukkan Warisan terdesak untuk meraih undi dalam PRN Sabah.

“Amanah itu anak derhaka. Kita sudah putus kerjasama dengan DAP tetapi mereka masih nak ikut DAP juga, (jadi) kita anggap mereka derhaka.

"Kalau betul-betul anak dia mesti taat kepada ibu bapa," katanya selepas menyampaikan kuliah secara dalam talian di Masjid Rusila, di Marang hari ini.

Abdul Hadi yang juga ali parlimen Marang berkata demikian ketika diminta mengulas video yang memaparkan kenyataan Ketua Wirawati Warisan Bahagian Putatan, Izzatul Aini Nissanso yang mendakwa Amanah ibarat anak PAS.

Dalam rakaman yang tular itu, Izzatul Aini dilaporkan berkata, ahli-ahli PAS perlu mengundi Rosdy Wasli kerana pembawaan calon Amanah yang bertanding di DUN Tanjung Keramat itu sama seperti wajah pemimpin PAS.

“Boleh jadi mereka terdesak dan merayu, itu satu langkah yang tidak bijak. Kita sudah tahu parti Warisan bekerjasama dengan DAP maka kita minta orang kita jangan sokong parti itu bersama rakan-rakan yang bergabung dengan mereka,” katanya lagi.

Amanah adalah parti serpihan PAS yang ditubuhkan pada tahun 2015 dipimpin bekas timbalan presiden parti itu Mohamad Sabu.

Parti Amanah digerakkan oleh kumpulan bekas pemimpin PAS yang kalah dalam pemilihan parti itu dan bertindak keluar parti.

Pemilihan ketika itu menyaksikan pertembungan kumpulan profesional yang digelar "Anwarinas" dengan kumpulan ulama PAS.

Dalam pada itu, Abdul Hadi menegaskan PAS akan mengerakkan seluruh jenteranya di Sabah untuk bekerja memenangkan calon-calon rakan sekutu mereka yang bertanding PRN.

“Saya juga sudah menggerakkan kepimpinan PAS Pusat ke sana (Sabah) termasuk timbalan presiden, setiausaha agung, ketua pemuda dan lain-lain untuk membantu di sana,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS