Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Portal SPRM versi Mandarin: Ramai tak faham BM dan BI? soal Isma
Diterbitkan:  Sep 18, 2020 9:45 PM
Dikemaskini: 1:45 PM

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya mempersoalkan pelancaran portal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dalam bahasa Mandarin.

Dia berpendapat bahawa semua rakyat Malaysia sepatutnya tidak mempunyai masalah memahami dan fasih berbahasa kebangsaan selepas negara memperolehi kemerdekaan sejak 63 tahun lalu.

"Menurut SPRM, portal bahasa Mandarin ini dilancarkan untuk memenuhi keperluan masyarakat Cina di Malaysia.

"Saya tidak pasti, apakah ini bermaksud ramai dari masyarakat Cina tidak memahami bahasa kebangsaan mahupun bahasa Inggeris?

"Jika benarlah perkara ini, cuba kita renung kembali. Di manakah silap kita dalam membentuk sebuah masyarakat Malaysia berteraskan identiti nasional selama ini?" soalnya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata keadaan tersebut menunjukkan keparahan dari segi kefahaman bahasa kebangsaan dalam sesetengah rakyat negara ini.

"Sudahlah tidak faham, kerajaan perlu keluarkan dana untuk membangunkan kemudahan untuk memahami sesuatu dalam bahasa ibunda," katanya.

Tidak puas hati dengan keadaan itu, Aminuddin turut membangkitkan sokongannya terhadap sekolah satu aliran.

Dia menyifatkan bahawa sekolah vernakular mewujudkan golongan yang tidak majmuk.

"Bagi saya, antara masalah terbesar kita ialah sistem sekolah vernakular yang terlalu mengakar dan besar di negara kita sehingga ada segmen masyarakat tertentu yang tercicir dan terperangkap dengan 'bubble' (gelembung) mereka tersendiri.

"Kalau dari kecil pun tidak terdedah dengan bahasa kebangsaan dengan baik, tidak mustahil apabila besar nanti akan hadapi masalah memahami bahasa kebangsaan," katanya.

Katanya, perkara sama berlaku apabila terdapat banyak poster pilihan raya berbahasa Mandarin di kawasan majoriti Cina dan di pilihan raya negeri Sabah.

"Sebab itulah terjemahan bahasa inggeris pun ramai yang tidak faham sehingga perlukan terjemahan bahasa mandarin," katanya.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS