Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah tolak permohonan perintah sementara batal KVDT2

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan sebuah firma untuk mendapatkan perintah sementara dalam saman untuk mengketepikan pembatalan kontrak projek menaiktaraf kemudahan infrastruktur landasan keretapi berkembar elektrik di Lembah Klang fasa 2 atau KVDT2 sementara menunggu pelupusan saman utama dalam kes itu.

Hakim Aliza Sulaiman menolak permohonan Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd semasa prosiding di mahkamah terbuka pagi ini.

Dia memutuskan bahawa mahkamah terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini iaitu perintah injunksi tidak boleh dikeluarkan terhadap kerajaan serta penjawat awam (bagi menghalang mereka daripada melakukan tugas awam).

Saman itu menamakan kerajaan Malaysia dan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong sebagai responden.

"Saya cenderung untuk mengikuti keputusan itu dan tidak membenarkan perintah sementara dikenakan ke atas kerajaan dan penjawat awam, oleh yang demikian, permohonan ini ditolak dengan kos sebanyak RM10,000,” katanya.

Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa hari ini ditetapkan untuk mendengar permohonan firma berkenaan untuk mendapatkan perintah sementara terhadap kedua-dua defendan.

Firma itu memohon perintah sementara untuk mengekalkan status quo antara pihak-pihak berkepentingan, sementara menunggu pembatalan tuntutan utama untuk menamatkan projek KVDT2 tersebut.

Pada 31 Ogos, Dhaya Maju LTAT dilaporkan mendakwa bahawa kerajaan PN tidak mempunyai asas untuk menamatkan kontrak sedia ada untuk projek itu.

Semasa prosiding pagi ini, Aliza memutuskan bahawa mahkamah tidak melihat keperluan untuk mendengar permohonan sementara terhadap kerajaan dan Wee, berdasarkan duluan (precedent) kes sebelumnya di Mahkamah Persekutuan.

Dia kemudian menolak permohonan itu dan memerintahkan agar kos ditetapkan pada RM10,000 untuk dibayar oleh syarikat itu.

Peguam syarikat itu, Cecil Abraham kemudian memberitahu mahkamah bahawa mereka akan membuat rayuan terhadap keputusan hari ini ke Mahkamah Rayuan.

Sebelumnya semasa penyerahan, Abraham mengatakan bahawa permohonan perintah sementara harus dibenarkan kerana ada masalah serius yang perlu didengar melalui tuntutan utama.

Abraham mengemukakan bahawa ada keperluan untuk perintah tersebut bagi mengekalkan status quo antara pihak-pihak yang sedang menunggu tindakan undang-undang utama.

"Berkenaan dengan apakah ada pertanyaan serius yang harus didengar, saya mengemukakan ada (didakwa) kes pelanggaran kontrak," kata peguam veteran itu.

"Yang kami minta hanyalah perintah interlokutori, sementara menunggu pendengaran antara pihak (tuntutan utama)," kata Abraham.

Bagaimanapun, peguam kanan persekutuan Asliza Ali mengemukakan bahawa mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah perintah untuk menghalang kerajaan daripada melaksanakan tugas awamnya.

"Di sini, ini melibatkan tugas umum kerajaan. Projek ini mempunyai kaitan dengan kepentingan umum,” kata Asliza, yang mewakili kedua-dua defendan.

Abraham kemudian mengemukakan bahawa permohonan perintah sementara tidak bertujuan untuk menghalangi kerajaan menjalankan tugas berkanun atau awam.

Peguam itu mengatakan bahawa sebaliknya permohonan itu meminta perintah sementara untuk mengelak kemungkinan pelanggaran tugas kontrak yang berkaitan dengan projek KVDT2.

Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa tindakan undang-undang syarikat itu meminta perisytiharan bahawa "ada kontrak yang sah dan mengikat antara penggugat dan defendan pertama melalui Surat Setuju Terima bertarikh 19 Ogos 2019 (kontrak)".

Plaintif meminta pengisytiharan bahawa "setiap penamatan atau pembatalan kontrak oleh defendan pertama dan / atau kedua akan tidak sah dan salah".

Syarikat itu meminta perintah terhadap kerajaan dan Wee untuk menahan dan mencegah mereka "daripada bertindak atau mengambil langkah-langkah berkaitan dengan pembatalan atau penamatan kontrak".


NOTA EDITOR: Atas nasihat perundangan, ruangan komen bagi artikel ini ditutup.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS