Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

KES 1MDB NAJIB l Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB terdedah kepada unsur-unsur politik.

Bekas CEO 1MDB, Mohd Hazem Abd Rahman berkata demikian ketika memberi keterangan semasa prosiding kes rasuah 1MDB bernilai RM2.28 bilion yang membabitkan bekas perdana menteri, Najib Razak.

Saksi pendakwaan ke-10 membuat kenyataan berkenaan sambil menjelaskan peristiwa-peristiwa yang berlaku sebelum dia mengundurkan diri sebagai CEO pada Januari 2015.

Hazem bertugas sebagai CEO sayarikat pelaburan negara itu bermula Mac 2013 hingga Januari 2015.

Katanya, setelah pulang menunaikan fardu haji di Makkah, Aran Saudi pada bulan Oktober 2014, dia telah memberitahu kepada ahli perniagaan berkaitan 1MDB, Low Taek Jho atau Jho Low dan setiausaha sulit Najib ketika itu, Azlin Alias mengenai hasratnya untuk berundur.

“Saya telah beritahu Datuk Azlin untuk maklumkan kepada Jho Low untuk mencari calon lain menggantikan saya, kerana semua pegawai di bawah saya tidak mahu mengantikan saya dengan alasan bahawa jawatan CEO terdedah kepada unsur politik,” kata Hazem dalam keterangannya.

Saksi itu memberi keterangan tersebut sebelum dia selesai membaca pernyataan saksi bertulis setebal 110 halaman.

Namun, Hazem tidak menjelaskan secara lebih terperinci mengenai maksudnya tentang "terdedah kepada unsur-unsur politik".

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah akan disambung semula pada 5 Oktober.

Najib berdepan empat tuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB sebanyak RM2.28 bilion.

Selain selaku perdana menteri, tertuduh juga adalah menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

1MDB dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc).

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS