Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kebakaran di konsesi IOI ketika jerebu dikaitkan dengan perladangan baru
Diterbitkan:  Sep 17, 2020 9:18 AM
Dikemaskini: 3:48 AM

Setiap hari, kumpulan Masyarakat Peduli Api (MPA) dari Desa Jambi mengawasi tepian Sungai Berais di Kalimantan Barat, Indonesia, sekiranya ada tanda-tanda kebakaran.

Sungai ini dianggap sebagai kawasan dengan nilai pemuliharaan tinggi (HCV).

Perairannya yang berkelok-kelok merentasi konsesi kelapa sawit yang dikendalikan oleh PT Kalimantan Prima Agro Mandiri (KPAM), yang membahagikan tanah konsesi itu kepada dua bahagian.

KPAM dimiliki oleh IOI Corporation Bhd, yang beribu pejabat di Putrajaya.

Pada Sept tahun lalu, semasa melakukan rondaan dengan motosikalnya, ketua MPA Desa Jambi, Romanus Soekarno, 37 menerima panggilan mengenai kebakaran di tebing sebelah timur sungai berkenaan.

Ketika MPA bergegas, satelit merakam rentetan peristiwa yang menimbulkan persoalan mengenai keterlibatan IOI dalam kebakaran hutan berkenaan.

Siasatan mendapati pada waktu kebakaran, KPAM sedang membersihkan kawasan itu untuk dijadikan ladang baru.

Imej dari satelit pengamatan bumi Sentinel-2 pada 4 Sept 2019, menunjukkan aktiviti perladangan di bahagian selatan konsesi di mana tiada aktiviti seumpama itu dua bulan sebelumnya. (Lihat gambar interaktif di bawah)

Pada mulanya, blok perladangan baru itu berasingan daripada blok lama yang dipercayai bermula pada tahun 2018.

Pada 19 Sept 2019, imej baru menunjukkan ruang antara blok lama dan baru diliputi tanda-tanda api yang marak. (Di bawah, tanda panas diwarnakan oren)

Pakar forensik kebakaran hutan, Bambang Hero Saharjo, yang selalu hadir di mahkamah Indonesia untuk memberi keterangan sebagai saksi pakar terhadap syarikat yang didakwa menggunakan api untuk membersihkan hutan, mengatakan analisis titik panas adalah salah satu instrumen yang digunakan untuk membuktikan sumber kebakaran.

Apabila titik panas muncul di kawasan konsesi, fakta ini sering digunakan sebagai bukti terhadap syarikat tersebut.

"Biasanya ketika titik panas muncul bersama dengan kegiatan pembukaan hutan oleh industri, ini adalah bukti yang tidak dapat disangkal," kata Bambang.

Menjelang Nov 2019, gambar satelit menunjukkan kawasan di mana tempat titik panas berada. Lawatan ke sana setahun kemudian mendapati ia ditanam dengan kelapa sawit.

Bagaimanapun, IOI menafikan kegiatan perladangannya menjadi punca kebakaran, dengan mengatakan bahawa ia mematuhi dasar pembakaran sifar yang ketat dan bekerjasama dengan penduduk tempatan untuk membantu mencegah kebakaran.

Ia mengatakan tidak ada asas saintfik yang menghubungkan pembersihan hutan untuk aktiviti perladangan baru dengan kejadian kebakaran atau memperburukkan lagi kebakaran.

Sebaliknya, ia mengatakan kemarau berpanjangan menjadi penyebab dan penduduk tempatan mempunyai akses mudah ke kawasan HCV di Sungai Berais.

"Kawasan itu terbakar kerana kecuaian mereka yang memasuki kawasan itu untuk berburu, menangkap ikan dan aktiviti lain. Kejadian kebakaran itu berlaku akibat penyebaran api dari Kawasan Pengurusan HCV yang terletak di sebelah Sungai Berais.

"Kawasan HCV dilindungi dan oleh itu tidak ada jalan yang dibina untuk mengaksesnya. Ini menjadi cabaran apabila insiden kebakaran berlaku dan air tidak dapat dibawa dengan mudah ke kawasan itu,” kata IOI menerusi e-mel pada Selasa.

Foto: Kepulan asap dari kebakaran hutan di Kalimantan pada tahun 2019.

Kesukaran bernafas

Setelah menerima panggilan kebakaran pada Sept lalu, Romanus berkata setiap anggota MPA yang berkebolehan telah pergi ke kawasan HCV untuk memadamkan kebakaran.

"Tetapi api lebih tinggi dari 10 meter,” katanya ketika ditemui Ogos tahun ini.

Pekerja syarikat itu, tambahnya, juga digerakkan dari pejabatnya di utara untuk memadamkan kebakaran.

Isteri Romanus, Maria Septiana, berkata dia perlu menyewa bot laju selama 20 minit perjalanan untuk membawa anak perempuan kedua pasangan itu, yang mengalami kesukaran bernafas akibat penyedutan asap, kepada doktor terdekat di daerah Sukamara.

"Dia tidak dapat bercakap," kata Maria.

Kawasan yang dilihat terbakar dalam imej satelit tahun lalu, kini dibuka dengan perladangan baru.

Menjelang Ogos tahun ini, hampir setahun selepas kebakaran, lokasi kebakaran di konsesi KPAM telah berubah sepenuhnya.

Bekas kebakaran telah hilang, dan kawasan itu berubah menjadi blok perladangan baru yang dipenuhi pokok kelapa sawit muda (di atas).

Di blok lain, anak-anak pokok Sawit ditanam dengan rapi, menandakan blok perladangan baru. Dua trak (di bawah) yang penuh dengan anak pokok kelapa sawit dilihat menuju ke kawasan itu.

Beratus-ratus konsesi terbakar

Hingga kini, tidak ada anggota Direktorat Jenderal Penguatkuasaan Hukum Lingkungan Hidup dan Kehutanan Indonesia yang setuju diwawancara berhubung siasatan ini, yang juga meliputi penemuan serupa di konsesi lain milik rakyat Indonesia.

KPAM hanyalah satu daripada ratusan konsesi perhutanan dan kelapa sawit yang terjejas oleh kebakaran di Indonesia pada tahun lalu.

Dianggarkan kebakaran hutan tahun lalu di Indonesia memusnahkan 1.65 juta hektar hutan, melibatkan sekurang-kurangnya 454 konsesi dan melepaskan 360 megaton karbon dioksida antara 1 Ogos dan 18 Sept 2019.

Beberapa konsesi yang terjejas adalah milik rakyat Malaysia, walaupun belum dibuktikan bertanggungjawab terhadap kebakaran tersebut.

Kebakaran menyebabkan jerebu teruk melanda rantau Asia Tenggara, termasuk Malaysia. Negeri-negeri di Malaysia Timur paling teruk dilanda jerebu berikutan jarak dekat dengan Kalimantan, namun negeri-negeri di semenanjung juga mencatatkan kualiti udara yang buruk.

Pada Sept 2019, lebih daripada 300 sekolah di Johor ditutup kerana jerebu.

Pada 19 Sept 2019, pada hari gambar satelit merakamkan kebakaran di konsesi KPAM, bacaan Indeks Pencemaran Udara (API) di enam kawasan di Sarawak mencecah tahap 'sangat tidak sihat'.

Sebanyak 101 kawasan di seluruh Malaysia, mencatat kualiti udara "tidak sihat" dengan bacaan API melebihi 101.

Krisis jerebu pada tahun 2019 mendorong penyusunan undang-undang untuk mendakwa syarikat Malaysia di luar negara yang didapati menyebabkan jerebu, tetapi bulan lalu, Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man mengatakan kerajaan baru telah membatalkan rancangan yang dimulakan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Tuan Ibrahim menyifatkan langkah kerajaan terdahulu untuk mengatasi masalah jerebu sebagai penyelesaian "kosmetik", dengan mengatakan bahawa bukti terhadap syarikat terbabit sukar diperoleh.

Syarikat yang didakwa di Indonesia

Sementara itu, di Indonesia, NGO alam sekitar Auriga Nusantara mencatatkan sekurang-kurangnya 29 syarikat yang disyaki menjadi penyebab kebakaran hutan sejak 2015.

Daripada jumlah tersebut, hanya 10 didakwa. Enam didapati bersalah, dua dibebaskan, dan dua kes masih belum selesai.

Selain itu, enam kes masih disiasat, dua kes ditutup dan nasib 11 kes lain tidak diketahui.

"Ia hilang begitu saja," kata pengarah komunikasi Auriga, Syahrul Fitra.

Aktivis di Indonesia juga membangkitkan kebimbangan mengenai draf undang-undang yang digelar "rang undang-undang omnibus" akan semakin melemahkan penguakuasaan di negara itu.

ARTIKEL BERKAITAN: IOI: kebakaran di Kalimantan berpunca dari penduduk tempatan yang 'cuai'.


Esok: Menangkap pelaku jerebu seperti menangkap asap.

Laporan ini adalah usahasama antara Malaysiakini dan rakan-rakan media di Indonesia - Tempo, Betahita, Mongabay dan NGO alam sekitar, Auriga Nusantara dengan sokongan dari Pulitzer Centre menerusi Rainforest Journalism Fund. Penyumbang adalah:

Penanggungjawab: Wahyu Dhyatmika (Tempo)

Ketua projek: Agoeng Wijaya (Tempo)

Penyumbang: Agoeng Wijaya, Agung Sedayu, Ibrahim Arsyad, Aseanty Widaningsih Pahlevi, Aisha Shaidra (Tempo); Kennial Laia (Betahita); Lusia Arumingtyas, Budi Baskoro (Mongabay); Aidila Razak, Koh Jun Lin (Malaysiakini)

Pasukan multimedia: Krisna Adhi Pradipta, Harfin Naqsyabandy, Harry Amijaya (Tempo)

Analisis data: Dedi Pratama Sukmara, Yustinus Seno, Sesil Maharani, Hafid Azi Darma (Auriga Nusantara); Agoeng Wijaya (Tempo); Koh Jun Lin, Lee Long Hui (Malaysiakini).

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS