Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lepas PBS 'khianat' kini Kitingan akui PN sokong calon bebas

PRN SABAH| Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Jeffrey Kitingan mengesahkan partinya dan Perikatan Nasional (PN) menyokong calon bebas untuk kerusi DUN Inanam, Kenny Chua, serta beberapa yang lain dalam PRN akhir Sept ini.

Chua dan calon bebas lain itu merupakan bekas Adun yang sebelum ini berpaling tadah dengan cuba bersekutu dengan Musa Aman untuk menjatuhkan pentadbiran Mohd Shafie Apdal.

Dengan menyokong Chua, PN bertembung dengan calon Parti Bersatu Sabah (PBS) yang turut bergabung dalam PN.

Bercakap dengan Malaysiakini, Kitingan berkata Chua ada meminta sokongan dan bantuan daripada pihaknya.

“Ya dia ada meminta kepada saya.

“Ada persefahaman untuk penyandang kerusi itu diberikan peluang untuk terus (berkhidmat sebagai wakil rakyat), jadi saya sokong dialah,” kata Kitingan ketika ditemui pada satu program di Keningau tengah hari tadi.

Anggota Parlimen Keningau juga berkata penyandang yang kini bertanding sebagai calon bebas - kerana tidak dinamakan mana-mana parti - akan berpeluang menyertai PN jika berjaya menang kerusi yang ditandingi.

Bagaimanapun, Kitingan tidak mendedahkan jumlah penyandang yang mendapat sokongan PN.

“Tak semua, hanya beberapa,” jawabnya ringkas selepas ditanya sama ada kesemua enam penyandang yang bertanding bebas di Sabah akan kembali ke PN selepas pilihan raya berakhir.

Ada datang minta tolong

Pada Julai, Chua - merupakan pembantu menteri kewangan Sabah ketika itu - berpaling tadah dengan meninggalkan PKR dan menyertai kumpulan penyokong Musa bagi membentuk kerajaan baru.

Bagaimanapun usaha itu gagal apabila Yang di-Pertua Negeri Sabah, Juhar Amiruddin, bersetuju dengan nasihat diberikan Mohd Shafie untuk membubarkan DUN.

Semalam, The Star Online melaporkan terdapat sekurang-kurangnya dua calon bebas yang “diangkat” sebagai calon parti Star Sabah.

Selain Chua, Anita Baranting juga bertanding sebagai calon secara bebas dan cuba mempertahankan kerusinya, Tandek. Semasa penamaan calon, Anita dicadangkan dan disokong anggota Star kawasan berkenaan.

Anita memenangi kerusi Tandek pada 2018 atas tiket BN-PBS sebelum mengalih sokongannya kepada Star.

Anita Baranting

Untuk rekod PBS menuduh Star memberikan sokongan secara senyap-senyap kepada pencalonan Anita.

Meskipun Kitingan mengakui terdapat segelintir calon bebas yang meminta bantuannya namun berkata Star tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan Anita.

“Ada beberapa calon bebas yang meminta tolong, contoh seperti Bengkola, tetapi dia (Anita) tiada kena-mengena dengan saya. Dia bebas,” tegasnya.

Kitingan menambah, isu anggota partinya menjadi pencadang Anita hanya diketahui selepas proses penamaan calon selesai pada 12 Sept lalu.

“Saya tidak tahu berita itu. Tiada kena mengena dengan parti,” katanya dengan menambah pemimpin bahagian parti mungkin hanya membantu Anita atas kapasiti peribadi.

Di sebalik pelbagai gabungan dan pakatan parti di Sabah, jumlah kerusi yang menyaksikan pertembungan sesama sendiri di antara PN, BN dan PBS semakin bertambah, daripada 11 menjadi 17.

Memang sebelum penamaan calon, parti dalam gabungan berkenaan bersetuju untuk mengagih-agihkan kerusi dalam usaha mereka merampas Sabah daripada pentadbiran Warisan.

Bagaimanapun satu demi satu parti gagal menepati janji. Satu-satunya gabungan yang berpegang kepada kata-kata mereka ialah PN yang berjanji untuk bertanding di 29 kerusi.

Chua dan Anita antara 14 Adun yang menyertai gerakan diketuai Musa Aman untuk meruntuhkan kerajaan negeri pimpinan Warisan.

 [Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS