Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: Kita jaga kita bah, pengundi faham kalau tak salam
Diterbitkan:  Sep 15, 2020 8:51 PM
Dikemaskini: 12:51 PM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menasihatkan rakyat Sabah yang kini berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) supaya patuh kepada peraturan ditetapkan bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Jelasnya, ketika berdepan peningkatan wabak itu di beberapa kawasan di Sabah, kempen PRN perlu dilaksanakan dengan penuh berhemah dan berdisiplin.

"Saya juga ingin menasihatkan penduduk di negeri Sabah supaya lebih berhati-hati. Peningkatan kes-kes baru Covid-19 amat ketara di negeri Sabah, khususnya di daerah Tawau dan Lahad Datu.

"Dalam keadaan negeri Sabah sedang menghadapi PRN, saya ingin mengingatkan saudara dan saudari yang berada di negeri Sabah supaya sentiasa mengamalkan norma-norma baru kehidupan dengan lebih berdisiplin.

"Kepada petugas-petugas pilihanraya, pastikan semua aktiviti kempen dijalankan mengikut SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKM)," katanya dalam perutusan khas yang disiarkan di TV1, sebentar tadi.

Terdahulu sebanyak 23 kes baru Covid-19 dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari ini. Daripada jumlah itu, sebanyak 10 adalah kes import manakala 13 lagi kes penularan tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata 13 kes penularan tempatan kesemuanya berlaku di Sabah.

Bagi kes import pula, ia membabitkan lima warganegara Malaysia dan lima bukan warganegara.

"10 kes adalah warganegara Malaysia dan tiga kes adalah bukan warganegara.

“Semua penularan di dalam negara adalah di negeri Sabah,” kata Dr Noor Hisham.

Kawasan yang terjejas akibat Covid-19 di Sabah ialah Tawau dan Lahad Datu.

Muhyiddin dalam pada itu berharap supaya orang ramai mengelak berkumpul di tempat sempit dan tidak bersalaman atau bersentuhan ketika berkempen.

"Dalam keadaan biasa, semasa musim pilihanraya ini ramai yang akan berkumpul dan bersalaman. Nasihat saya elakkanlah sebarang perkumpulan di tempat yang sesak dan sempit.

"Elakkan juga bersalaman dengan pengundi. Saya fikir para pengundi pun faham kalau mereka yang turun berkempen tidak menghulurkan tangan untuk bersalaman.

"Yang penting kita saling melindungi antara satu sama lain supaya tidak terkena jangkitan Covuid-19. Kita jaga kita bah," kata Muhyiddin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS