Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ujian saringan besar-besaran di Lahad Datu, Tawau dan Kunak

Kementerian Kesihatan akan menjalankan ujian saringan besar-besaran kepada penduduk terpilih di Lahad Datu, Tawau dan Kunak setelah kes Covid-19 dikesan di sana.

Dengan peningkatan kes Covid-19 di negeri itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah sekali lagi menggesa semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika kempen pilihan raya negeri.

Noor Hisham berkata kerajaan sedang bersungguh-sungguh menghalang pendatang asing tanpa izin daripada menembusi sempadan negara.

Dua kes indeks dalam kluster Benteng LD - kluster aktif terbesar di Malaysia pada masa ini - adalah pendatang asing tanpa izin dari Filipina.

"Sebaik kita mengetatkan sempadan, kita juga akan adakan saringan dalam komuniti.

"...Kita menjangkakan dalam beberapa hari dan minggu seterusnya, kita akan buat saringan terhadap komuniti di Tawau, Lahad Datu dan Kunak.

"Mungkin kira-kira 15,000 hingga 20,000 (orang akan disaring). Kita bersedia untuk buat saringan besar-besaran di kawasan ini," katanya lagi ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, kampung-kampung untuk ujian tersebut akan ditetapkan nanti dan ia akan dijalankan berdasarkan lokaliti.

"Jika suatu lokaliti ada kes positif yang tinggi, kita mungkin akan menimbang untuk ambil tindakan seperti (menguatkuasakan) perintah kawalan pergerakan diperketatkan," katanya lagi.

Punca kluster Benteng

Setakat pukul 12 tengah hari ini, jumlah kes berkaitan kluster itu meningkat ke 424 kes di dua lokaliti - penjara Tawau dan lokap polis Lahad Datu.

Sebanyak 395 kes melibatkan tahanan, sepuluh melibatkan kakitangan penjara dan lokap dan 19 lagi adalah kontak rapat.

Noor Hisham berkata, penularan di sana berlaku akibat tahanan tidak diperiksa dengan betul dan diasingkan.

"Apabila kita tahan pendatang tanpa izin, berlaku percampuran dengan tahanan (sedia ada)," katanya sambil menambah keadaan itu diburukkan lagi dengan kawasan tahanan yang terhad serta kelambatan menjalankan ujian Covid-19.

"Pengajaran di sini adalah mereka (pihak berkuasa) perlu mematuhi prosedur operasi standard," katanya lagi.

[Baca berita asal]

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS