Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Suspek tinggalkan pacuan 4 roda bersama syabu bernilai RM23.4 juta

Tidak sampai sebulan rampasan terbesar dadah di Kelantan pada tahun ini, polis sekali lagi berjaya menemui dan merampas dadah dianggarkan bernilai RM23.4 juta pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat berkata, Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) berjaya mengesan dadah jenis syabu seberat 584 kilogram berjaya dikesan dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton.

Pada kejadian kira-kira jam tujuh malam itu, dia berkata seorang suspek memandu kenderaan tersebut bertindak memecut apabila menyedari diekori pihak berkuasa berhampiran Kampung Teluk Jering, Tumpat.

Bagaimanapun katanya, secara tiba-tiba sebuah kereta jenis Proton Satria Neo yang dipercayai tonto membuat halangan sebelum satu das tembakan amaran terpaksa dilepaskan ke udara.

"Kedua-dua kenderaan itu pantas menyelinap ke dalam hutan di Kampung Cherang Melintang dan gagal dikesan pihak berkuasa," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, Kelantan, hari ini.

Susulan itu kata Shafein, anggota unit kereta peronda (MPV) menerima maklumat menyatakan terdapat pacuan empat roda di dalam semak tepi jalan di Kampung Cherang Melintang, di situ.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemui longgokan guni plastik berwarna putih yang mengandungi 584kg ketulan kristal disyaki syabu yang diisi dalam bungkusan teh cina.

"Hasil semakan terhadap kenderaan itu mendapati ia dimiliki individu yang beralamat di Perak dan kami sedang mengesan pemiliknya," katanya lagi.

Katanya lagi, siasatan lanjut sedang dibuat tetapi polis tidak menolak kemungkinan bahawa rampasan itu ada kaitan dengan sindiket dadah yang tumpas baru-baru ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK) kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

"Siasatan lanjut dan terperinci sedang dijalankan untuk mengenal pasti pembekal dan pengedar dadah yang dirampas," katanya sambil mengalu-alukan sebarang maklumat dari orang ramai bagi membantu siasatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS