Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pekebun Musang King mula dipanggil SPRM?
Diterbitkan:  Sep 15, 2020 5:23 PM
Dikemaskini: 9:32 AM

Perikatan Selamatkan Musang King (Samka) mendakwa pekebun durian di Raub, Pahang telah dihubungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk diambil keterangan mulai hari ini.

Samka berkata kira-kira 50 pekebun durian tidak berlesen itu telah dihubungi oleh pegawai SPRM bagi siasatan berhubung pencerobohan tanah di sekitar daerah itu.

“Lebih kurang 50 orang pekebun tanpa geran dari Raub dihubungi oleh SPRM melalui talian atau lawatan ke rumah, mereka isukan notis kepada pekebun, memanggil pekebun untuk memberi keterangan di SPRM mengikut kumpulan.

“Samka berasa terkejut dengan tindakan SPRM yang memanggil pekebun untuk memberi keterangan secara besar-besaran. Samka berpendapat bahawa tindakan ini bakal menakutkan pekebun, memberi tekanan dan turut menyebabkan mereka akur dengan perjanjian berat sebelah korporat,” kata pertubuhan itu dalam kenyataan.

Para pekebun durian haram di daerah itu kini bergelut dalam usaha pemutihan kebun dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources (RPDR), yang didakwa mereka sebagai berat sebelah.

Pada 28 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Kuantan membenarkan permohonan 111 pekebun haram di Raub bagi semakan kehakiman untuk membatalkan notis pengosongan tanah yang melibatkan kebun-kebun itu sehingga 28 Oktober depan.

Sehingga permohonan itu didengar oleh Mahkamah Tinggi, kerajaan negeri terpaksa menangguhkan buat sementara semua tindakan bagi menguatkuasakan notis pengosongan berkenaan.

Mengulas lanjut, Samka menegaskan SPRM perlu mempunyai bukti yang kukuh sebelum memanggil pekebun.

"Tindakan SPRM memanggil lebih kurang 50 pekebun untuk memberi kenyataan menunjukkan bahawa SPRM tiada hala tuju yang jelas dan cuba memancing keterangan.

"Bagi pihak Samka, ia merupakan satu tindakan yang kurang profesional dan membawa unsur penyalahgunaan kuasa," katanya, yang turut menyifatkan ia secara tidak langsung membantu pihak syarikat yang terlibat untuk memberi tekanan kepada mereka.

Oleh demikian, Samka berkata pihaknya telah melantik peguam untuk mengiringi pekebun yang dipanggil ke SPRM di Raub untuk disoal siasat mulai jam 10 pagi tadi.

Sementara itu, SPRM dalam satu kenyataan menafikan perkara itu dan berkata pihaknya tidak pernah memanggil mana-mana pekebun untuk memberi keterangan.

“Apa yang saya boleh sahkan setakat ini, SPRM telah membuka kertas berhubung siasatan kes itu,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki kepada pemberita selepas menghadiri Forum Korporat Liabiliti, di Kuala Lumpur, hari ini.

Azam berkata pihaknya akan melihat kes berkenaan jika ada isu lain berhubung rasuah dan salah guna kuasa berkaitan penerokaan tanah secara haram.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS