Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PULASAN | Apabila Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah menyatakan kesediaan partinya bertanding di Sabah dengan menggunakan apa saja logo, tidak ramai yang menyangka ia merupakan langkah terkedepan yang sangat jauh.

Ketika orang membayangkan calon-calon PAS terpampang wajahnya di poster dengan lambang dacing BN atau Perikatan Nasional, Abdul Hadi Awang tetap dengan bergaya dan tenang.

Memang begitulah. Bila masa Abdul Hadi tidak tenang, kan?

Nah, di situlah kejutan pertama PAS mencengkam jantung Pakatan Harapan. Tanpa diduga, PAS dengan bergaya membuat kejutan yang bukan kepalang.

Dengan kepintaran pemimpin parti itu yang dapat membaca gerak langkah musuh sehingga 10 tahun ke depan. Ketika orang ramai menanti-nanti deretan wajah 10 calon PAS bertanding di bawah naungan dacing atau PN, Abdul Hadi mematikan langsung impian berkenaan.

Tiada seorang pun calon PAS dipertaruhkan. Padan muka PH, terutama DAP. Itu adalah salah satu bukti bagaimana kepintaran PAS berpolitik di Sabah. Ketika PAS sangat berpotensi untuk muncul sebagai parti yang dominan di Negeri Di Bawah Bayu itu, mereka melakukan langkah penuh berstrategi untuk tidak bertanding.

Pedulilah pengakuan Tuan Ibrahim Tuan Man yang menceritakan bagaimana PAS berunding dengan rakan-rakan mereka dalam BN dan PN untuk mencari kerusi. Bahawa beliau sendiri mengaku PAS sendiri mendesak diberikan laluan, itu tidaklah menafikan bahawa parti itu memang berpandangan sangat jauh.

Ia dirumuskan dengan begitu sempurna apabila menteri kanan berkenaan menjelaskan dengan lebih lanjut bahawa tanpa satu pun kerusi - walaupun awalnya PAS membayangkan mahu bertanding sehingga 10 kerusi - mereka berjaya mengalahkan perangkap musuh.

Nah, itulah satu lagi bukti bahawa PAS memang parti yang sentiasa dipandu oleh akal yang sihat sehingga berjaya menghidu perangkap dengan sangat baik. Jarang ada parti yang mendapat keistimewaan sebegitu dalam dunia ini.

Bertanding di semua kerusi

Bagaimanapun pada masa sama orang ramai diberitahu bahawa tanpa satu calon diturunkan pun PAS tetap bertanding. Ia dikisahkan oleh seorang anggota Jawatankuasa Pusat PAS yang juga setiausaha Tuan Ibrahim sendiri, Dr Mohd Zuhdi Marsuki.

Kurang lebih mengikut kata Mohd Zuhdi, mana-mana calon Umno, Bersatu atau parti komponen BN dan PN yang bertarung dalam PRN Sabah kali ini, itulah calon PAS.

Ia sudah tentu dapat difahami jika kita melihat kepada pengalaman PAS dalam politik selama ini. Selepas lebih 60 tahun bergerak dalam bidang siasah yang serba mencabar, antara pencapaian terbaik dapat dicapai ialah bertanding di semua kerusi yang ada.

Daripada sasaran bertanding di 10 kerusi, kini PAS 'bertanding' di 73 kerusi. Bayangkan kemanisan perjuangan parti itu selama ini rupa-rupanya dikecapi di Sabah.

Lebih manis, PAS mengalami keadaan itu benar-benar di bawah teduhan lembayung lambang BN dan PN.

Ia pasti peluang yang sangat bermakna buat petugas dan jentera PAS yang dikerah untuk memenangkan semua calon mereka hujung bulan ini. Berkempen dari rumah ke rumah atau berceramah, tentulah dengan dua logo berkenaan.

Maka jika siang mereka akan berjalan di bawah bayang-bayang logo BN dan PN. Jika malam, mereka akan berjuang dengan sapuan manja udara Sabah dan bayang-bayang lambang yang sama jua.

Bayangkan betapa berganda-gandanya kekecewaan PH dengan kelincahan PAS kali ini.

Pelaburan demi pelaburan

Pada masa sama Bersatu dan BN seluruhnya jangan berlapang dada sangat. Apa sangatlah 73 kerusi yang ada di Sabah berbanding 222 kerusi parlimen dan lebih 500 kerusi dewan undangan negeri lain.

Angin-angin yang bertiup dari Kota Bharu hujung minggu lalu sudah mengkhabarkan bahawa PAS melihat langkah mereka di Sabah bukan langkah biasa. Ia kira-kira semacam suatu 'pelaburan' juga. Dan PAS sudah menghantar isyaratnya sehari dua ini.

Dan bukanlah aneh untuk PAS dengan sifir begitu. Ia pernah dilakukan oleh mereka sebelum ini dengan jayanya. Misalnya sebelum PRU ke-14 lalu. Berapa banyak pelaburan yang berlangsung tidaklah kita ketahui dengan jelas tetapi diyakini ia ada.

Selepas kerajaan baru muncul dengan jatuhnya PH, PAS melabur lagi. Ia mewujudkan Muafakat Nasional dengan Umno sebelum ini, dan ia bersekutu dengan PN selepas itu. 

Kalau bukan 'pelaburan' apakah lagi istilahnya untuk langkah tersebut?

Sudah tentu pada akhirnya PAS menginginkan bulan jatuh ke riba. Ia adalah impian yang adil dan wajar. 

Cuma PAS perlu ingat bahawa tidak semua orang membayangkan hal itu buat masa ini.

Justeru PAS juga berdepan dengan pelbagai kemungkinan pada waktu depan. Di sebalik wawasan mereka yang begitu jauh, masih ada ruang untuk berlaku hal-hal yang tidak diingini.

Jika ia berlaku, jadilah seperti pungguk merindukan bulan. Atau seperti menanti buah yang tak gugur. Atau seperti menunggu-nunggu menteri ingkar kuarantin dikenakan tindakan lebih keras daripada 'kompaun manja' atas keingkarannya.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang suka memandang bulan.

Tulisan ini tidak mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS