Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Sebelum ini tanah hutan simpan diberi pada kawan-kawan'
Diterbitkan:  Sep 14, 2020 7:31 PM
Dikemaskini: 11:32 AM

Ketua menteri sementara Sabah Shafie Apdal mendakwa banyak tanah milik Yayasan Sabah diberikan kepada “kawan dan keluarga” dalam pemerintah terdahulu.

Bercakap dalam satu program kempen PRN di Kunak, katanya, sebelum pemeriksaan, daripada satu juta ekar tanah, hampir 700,000 ekar tidak jelas dimiliki oleh siapa.

“(Setelah) diperiksa, kawan dia punya,” katanya di pentas sebelum meminta pegawainya mengambil dokumen dalam keretanya.

Merujuk dokumen yang dikatakan peta tanah dan dokumen “Sabah Softwood Berhad” (SSB) milik Yayasan Sabah, nama seorang bekas ketua menteri dan adiknya - bekas menteri persekutuan, sekarang pemimpin sebuah parti pembangkang - muncul dari mulut Shafie.

Malaysiakini sudah menghubungi pegawai kedua-dua pemimpin.

Nama pemimpin itu serta syarikat disebut Shafie tidak disebut buat masa ini sementara menunggu reaksi mereka.

Shafie berkata sebuah anak syarikat SSB (pegangan 50 peratus), mempunyai perjanjian berkaitan minyak sawit mentah (CPO) sebanyak 100,000 tan untuk setiap tahun.

“Siapa punya syarikat? Pemilik dia, anak si (bekas ketua menteri itu).

“(Maklumat tentang pemilik syarikat itu), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ada,” katanya merujuk sesalinan maklumat SSM yang terkandung dalam dokumen berkenaan.

“Mahu saman saya saman. Ada dokumen,” katanya disambut tepukan hadirin.

Merujuk peta pula, katanya, sebanyak 11,000 hektar tanah di Hutan Simpan Kalabakan diberikan kepada sebuah syarikat, yang menurut Shafie, kini dipegang oleh anaknya dan ada hubungan politik.

Pemilikan itu, dakwanya, untuk tempoh 100 tahun, dari 2015 hingga 2115.

“(Seorang lagi) hampir 50,000 hektar tanah hampir 100,000 ekar dari tahun 2018 sampai 2118. Banyak lagi kalau saya sebut,” katanya lanjut.

Kata Shafie, Yayasan Sabah sepatutnya menyediakan biasiswa untuk kemudahan pendidikan anak-anak Sabah.

Namun dakwanya, bawah pentadbiran BN sebelum ini, hanya sedikit diperuntukkan untuk tujuan itu.

Oleh itu, katanya, sebaik mengambil tampuk pemerintahan, dia menyediakan lebih RM100 juta untuk biasiswa anak-anak Sabah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS