Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Covid-19: Saintis M'sia bangunkan kit ujian antigen 'tahap seterusnya'

Sepasukan saintis tempatan telah membangunkan satu rapid test kit (RTK) antigen Covid-19 yang baru yang didakwa mempunyai kadar ketepatan yang sama dengan ujian di makmal.

Pasukan itu diketuai Dr Wan Wardatul Amani Wan Salim, yang merupakan warga Malaysia pertama yang melancarkan satelit di Pusat Angkasa dan Pentadbiran Angkasa (Nasa).

Baru-baru ini pasukan itu menjadi antara 15 finalis dalam pertandingan yang dianjurkan Massachusetts Institute of Technology (MIT).

Berdasarkan wawancara menerusi telefon dengan Amani dan seorang lagi saintis, Malaysiakini difahamkan bahawa teknologi yang sedang dibangunkan mereka mungkin boleh memberikan penyelesaian lebih tepat dan murah untuk saringan Covid-19, berbanding dengan apa yang ada pada masa ini.

Amani berkata, projek itu pada mulanya adalah usaha untuk membangunkan pembaca glukos tahap seterusnya (next-level) yang boleh mengesan tahap gula dalam badan menerusi sampel air liur, berbanding darah seperti lazimnya.

"Apabila wabak Covid-19 melanda dunia dan negara kita mula mengenakan perintah kawalan pergerakan Mac lalu, saya dan pasukan bertukar fikiran tentang bagaimana kita dapat membantu.

"Ketika itulah kita berfikir tentang mengubah teknologi untuk digunakan dalam saringan Covid-19," katanya ketika telesidang dengan rakan pasukannya Iqbal Shamsul, yang merupakan CEO NanoSkunkWorkX Sdn Bhd.

Syarikat itu adalah start-up yang bertujuan membangunkan teknologi baru dan bertanggungjawab mengumpul saintis untuk projek ini.

Untuk rekod, Amani sebelum ini mengetuai pasukan 28 saintis, ahli teknologi dan jurutera bagi program astrobiologi pertama Nasa untuk menguji bagaimana sel hidupan bertindak balas terhadap kekurangan graviti.

Amani pernah ditampilkan dalam ruangan Malaysianskini pada 2018. Sejak itu dia kembali ke Malaysia atas hasrat memberi sumbangan kepada negara.

'Penyelesaian lebih murah, kurang mengganggu'

Mengulas lanjut, Amani dan Iqbal berkata RTK antigen dapat mengesan kehadiran novel coronavirus dalam mana-mana cecair badan termasuk air lur, justeru mengelakkan penggunanya daripada kaedah sekarang yang agak 'mengganggu', iaitu ujian swab di dalam hidung.

Kit ujian itu dikatakan serupa dengan peralatan buat sendiri (DIY) untuk memeriksa tahap gula dalam darah, tetapi hanya memerlukan air liur di alat ujian.

"Keputusan adalah hampir segera, seperti ujian glukos. Ia juga menggunakan teknologi yang sama dengan meter diabetes," kata Amani.

Menurut Iqbal, RTK ini dibangunkan menggunakan pengalaman Amani di Nasa, di mana tugasnya melibatkan pengesan yang dihantar ke ruang angkasa.

"Teknologinya dapat menguatkan isyarat virus (untuk dikesan). Ini bermakna virus dapat dikesan walau jumlahnya sedikit.

"Ini menjadikan ketepatan RTK ini dapat dibandingkan dengan ujian makmal hari ini," katanya lagi.

Pihak berkuasa kesihatan di Malaysia dan dunia kebanyakannya bergantung kepada ujian RT-PCR (reverse transcription polymerase chain reaction), yang memakan kos dan mengambil masa untuk menunjukkan keputusan.

'Kekangan dana'

Sebagai pilihan yang lebih cepat dan murah, Kementerian Kesihatan juga menggunakan RTK daripada syarikat di Korea Selatan, yang dikatakan memiliki kadar ketepatan 84.4 peratus.

Bagaimanapun, terdapat kes di mana ujian itu menunjukkan keputusan negatif terhadap individu, yang kemudiannya disahkan positif beberapa hari kemudian.

Ia termasuk tiga kes luar negara yang tiba di Sarawak antara Jun dan Julai lalu, yang didapati positif selepas menjalani ujian swab.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada masa itu memberitahu laman berita kesihatan CodeBlue, bahawa pihaknya sedang menilai semula RTK yang digunakan.

Iqbal berkata cadangan untuk RTK mereka, yang dihantar untuk pertanding MIT, belum menjalani ujian klinikal ekoran kekangan dana.

Mereka berharap pertandingan itu akan meningkatkan perhatian terhadap usaha mereka dan seterusnya menarik penaja, setelah usaha mendapatkan dana di dalam negara gagal.

Usaha mereka sebelum ini termasuk permohonan dana penyelidikan daripada beberapa kementerian yang setakat ini belum memberikan maklum balas positif.

Menurut kenyataan media pasukan itu, cadangan mereka dihantar untuk kategori Pandemik dan Keselamatan Kesihatan dalam pertandingan MIT Solve 2020 Global Challenges.

Sejumlah 2,600 cadangan daripada 135 negara dihantar. Daripada jumlah itu, 90 dipilih bagi enam kategori untuk dibentangkan dalam Virtual Solve Challenge Finals pada 29 September ini, menurut kenyataan itu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS