Terdapat 31 kes baru Covid-19 yang dikesan setakat jam 12 tengah hari tadi, dengan sebahagian besarnya di Sabah.
Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan hal berkenaan pada suatu kenyataan hari ini.
Sementara itu, 11 pesakit mendapat rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan daripada jumlah itu lima pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.
Beliau juga memaklumkan daripada 31 kes baru yang dilaporkan, tiga kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara, manakala 28 kes lagi melibatkan penularan di dalam negara.
"Ketiga-tiga kes import adalah dari negara Indonesia, iaitu di negeri Sabah, dua kes yang melibatkan warganegara Malaysia; dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, satu kes yang melibatkan warganegara Indonesia yang telah memasuki Malaysia pada 31 Ogos 2020.
"Beliau dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada hari yang sama kerana bergejala dan dikesan positif pada persampelan kedua iaitu pada 13 September 2020," katanya lagi.
Menjelaskan lanjut, Noor Hisham berkata daripada 28 kes penularan di dalam negara, 19 kes adalah warganegara Malaysia manakala sembilan kes adalah bukan warganegara.
Sabah mencatat 28 kes baru, dengan 17 kes daripada Kluster Benteng LD, di mana lapan kes melibatkan bukan warganegara.
"Satu kes saringan warga emas di Klinik Kesihatan Merotai; satu kes saringan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di Hospital Lahad Datu; satu kes saringan pra pembedahan di Hospital Queen Kudat; satu kes saringan rujukan ke Hospital Tawau; satu kes saringan kontak rapat bagi kes ke-9454.
"Beliau merupakan anak kepada kes ke-9454; da satu kes saringan tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat," jelasnya lagi.
Negeri Sembilan pula mencatatkan empat kes baru daripada Kluster Bunga dan Kedah satu kes baru daripada Kluster Sungai.
Tiada pertambahan korban berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 128 kes.
[Berita penuh menyusul]
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.