Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) telah menubuhkan unit cegah jenayah alam sekitar bagi membendung kes jenayah pencemaran di Malaysia, dijadual mula beroperasi bulan depan.

Menterinya, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata unit itu melibatkan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span), Jabatan Biokeselamatan (JBK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan bahawa susulan mesyuarat khas Kasa dan kementerian dalam negeri (KDN) yang baru diadakan sebentar tadi.

“Unit yang ditubuhkan secara pentadbiran ini dijangka akan dapat beroperasi pada awal Oktober ini,” katanya ketika sidang media di ibu pejabat Kasa di Putrajaya hari ini.

Turut hadir dalam sidang media adalah Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) JSJ, DCP Mior Faridalathrash Wahid.

Tambah Tuan Ibrahim, kementeriannya juga akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan bagi mendapatkan peruntukan kewangan dan pertambahan anggota pasukan itu.

“Ini agar unit ini dapat diperkukuhkan kerana ia akan melibatkan pertambahan perjawatan dan peruntukan kewangan tambahan,” katanya lagi.

Pada 3 September lalu, gangguan bekalan air sekali lagi berlaku di 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Gangguan selama beberapa hari itu merupakan insiden kelima sejak 2019.

Ia berpunca daripada pencemaran di Sungai Gong yang didakwa disebabkan pembuangan bahan tercemar oleh sebuah kilang di Sungai Gong.

Kilang itu kemudian diperintahkan tutup dan beberapa individu ditahan reman untuk siasatan.

Sementara itu, Tuan Ibrahim yang juga merupakan Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata jumlah anggota pasukan itu akan bergantung kepada keadaan dan keperluan kes.

Ditanya pemberita adakah pasukan itu akan memfokuskan masalah air di sekitar lembah Klang sahaja, menteri itu berkata ia membabitkan masalah pencemaran air di seluruh negara.

“Memang secara menyeluruh tetapi lepas ada aduan kita kena tengok, sama ada dia melibatkan kes alam sekitar atau jenayah (pencemaran).

“Kalau jenayah baru kita bawa ke unit pencegah jenayah,” katanya lagi. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS