Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS lulus usul bantah pemulihan hubungan diplomatik UAE-Israel

MUKTAMAR PAS | Usul membantah normalisasi hubungan diplomatik Emiriah Arab Bersatu (UAE), Liga Arab serta Bahrain dengan Israel diluluskan sebulat suara di Muktamar PAS ke-66 hari ini.

Usul itu dibentang perwakilan Dewan Ulamak PAS Muhammad Najhan Shahir Abdul Halim yang membangkitkan kepentingan Baitul Maqdis dalam sejarah Islam.

"Menyedari bumi Baitul Maqdis yang diberkati ini sangat penting di dalam sejarah Islam kerana kaitan sejarah dengan nabi-nabi yang diutus oleh Allah dan secara tabi'inya turut menjadi bumi suci buat umat Islam.

"Bumi Palestin khusunya Baitul Maqdis yang diberkati ini amat penting bagi umat Islam yang mempunyai hak ke atas bumi ini dari sudut agama, sejarah dan undang-undang.

"Mempertahankan Baitul Maqdis dari sebarang jenis penjajahan adalah penerusan kepada memperteguhkan iman dan aqidah tauhid yang sama seperti yang diasaskan oleh nabi-nabi terdahulu," katanya.

Untuk rekod, Baitul Maqdis adalah kota suci kepada tiga agama iaitu Islam, Judaisme dan Kristian yang menjadi rebutan sepanjang sejarah.

Menerusi pelan "Deal of the Century" (DOTC) oleh Amerika Syarikat (AS), ia akan diiktiraf sebagai ibu negara Israel dan AS memindahkan kedutaannya di sana.

Pada Ogos lalu, UAE dan Israel mencapai persetujuan untuk memeterai perjanjian bagi memulihkan hubungan diplomatik.

Menurut laporan Al Jazeera, mesyuarat Liga Arab menolak usul Palestin untuk mengecam secara jelas langkah UAE itu.

Pada 11 September lalu, Bahrain pula mengumumkan akan menyusuli langkah tersebut.

Terdahulu ketika sidang media, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu tidak mengiktiraf Israel tetapi tiada hak untuk mencampuri urusan negara lain.

"Kita tak setuju secara dasarnya, kebanyakan negara-negara Islam tak setuju, kerana negara Israel ditubuhkan dengan cara yang tidak betul," katanya yang juga duta khas perdana menteri ke Timur Tengah.

Membentangkan usulnya, Muhammad Najhan menggesa negara-negara Islam untuk mengecam pengiktirafan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel serta sebarang hubungan diplomatik dengan negara itu.

"(Kita juga) mendesak supaya kerajaan Malaysia mengkaji pendirian 'penyelesaian dua negara' terhadap isu Palestin dengan memberi penekanan terhadap sejarah dan nilai murni agama untuk kepentingan Palestin dan rakyatnya dengan solusi yang adil," katanya lagi.

Terdahulu, Menteri Luar Hishammuddin Hussein menekankan pendirian Malaysia iaitu pembentukan dua negara berasaskan sempadan sebelum Perang 1967 dengan Baitulmaqdis Timur menjadi ibu negara Palestin, sebagai jalan keluar untuk konflik yang sekian lama berlarutan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS