Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PRN SABAH | Pada PRU 2018, slogan perubahan menjadi pilihan buat Warisan. Parti itu menggunakan motto ‘In God we trust, change we must’.

Dua tahun kemudian, setelah usaha rampasan kuasa menyaksikan beberapa wakil rakyatnya berpaling tadah, Warisan kini mengetengahkan mesej kesatuan.

Dengan kempen pilihan raya bermula hari ini, dapat dilihat sejumlah papan tanda di sekitar Kota Kinabalu yang memaparkan potret Presiden Warisan Shafie Apdal beserta cogan kata baru In God we trust, unite we must (Kepada Tuhan kita yakin, berpadu kita mesti).

Ada juga papan tanda yang hanya memaparkan perkataan 'Unity' (kesatuan) bagi mengiringi potret Shafie.

Reka bentuk potret itu juga mengingatkan kepada poster ikonik ‘Harapan’ milik bekas presiden Amerika Syarikat (AS) Barrack Obama sewaktu kempennya pada tahun 2008, hasil karya artis Shepard Fairey.

Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking berkata pihaknya mendapat inspirasi dari bendera Sabah bagi paduan warna untuk potret Shafie.

“Inspirasi (untuk poster Obama) adalah rakyat Amerika. Lihat apa berlalu kepada negara itu selepas Obama tidak lagi menjadi presiden.

“Mereka mempunyai masalah kaum yang kembali muncul, tetapi di Sabah kita tidak mahu perkara itu berlaku lagi, di mana anda dipisahkan oleh kaum atau agama.

“Shafie rasa kita tak boleh lihat seseorang itu berdasarkan warna kulit atau kepercayaan tetapi dengan merit yang kita ada.

“Merit kita adalah rakyat sudah bersatu sebelum ini, kenapa kita tidak boleh lakukannya sekali lagi dan kali ini dengan lebih baik antara pantai timur, pantai barat dan kawasan pedalaman Sabah," katanya kepada pemberita selepas program ceramah di Donggongon, Penampang hari ini.

Leiking juga berkata Warisan sudah mencapai ‘perubahan’ seperti cogan kata mereka pada tahun 2018.

Bagaimanapun, katanya lagi, ada anggota parti yang tidak dapat menerima perubahan dan ia menyebabkan ramai wakil rakyat pihak kerajaan sebelum ini menukar sokongan.

Leiking merujuk kepada tindakan beberapa Adun Warisan yang bersama-sama bekas ketua menteri Musa Aman untuk cuba merampas kerajaan negeri sebelum ini.

Pada 29 Julai lalu, Musa mengumumkan dia memiliki sokongan yang cukup untuk mengambil alih kerajaan Sabah lantas cuba untuk mengangkat sumpah sebagai ketua menteri.

Namun, ia telah digagalkan selepas Yang Dipertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin bersetuju membubarkan DUN Sabah atas permintaan Shafie, yang membuka jalan bagi pilihan raya negeri pada 26 Sept ini.

"Jadi langkah seterusnya, selepas kita berdepan cabaran (lompat parti), Shafie memberitahu kepimpinan Warisan bahawa kita mesti bersatu padu sekarang.

"Kita mesti menyatukan Sabah. Sebab itu 'unite we must'," katanya lagi.

Ikuti liputan PRN Sabah oleh Malaysiakini di sini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS