Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS ejen perpaduan sayap pemuda PN - Khairil Nizam
Diterbitkan:  Sep 12, 2020 4:35 PM
Dikemaskini: 8:35 AM

MUKTAMAR PAS | Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) perlu berperanan menjadi penyatu atau ejen perpaduan pada setiap sayap pemuda parti politik yang mendukung Perikatan Nasional (PN), kata Ketuanya Khairil Nizam Khirudin.

Beliau berkata sentimen rakyat terhadap kerajaan kini amat positif dan sekiranya berlaku perselisihan pendapat antara sayap pemuda parti di bawah PN, maka ia perlu diselesaikan secara tertutup melalui meja rundingan.

"Perpaduan ummah yang utuh akan membina keyakinan dan kepercayaan dalam kalangan rakyat yang majmuk, malah, sebagai kelompok majoriti dalam negara, perpaduan umat Islam adalah penting dalam memastikan kestabilan politik, sosial dan ekonomi.

"Percayalah, keharmonian antara kaum dan agama akan lebih mudah dicapai apabila umat Islam dapat bersatu atas prinsip yang benar," katanya dalam ucaptama pada Muktamar Tahunan DPPM ke-61 yang berlangsung di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), di Pengkalan Chepa, dekat Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Ketua Pemuda PAS pusat Ahmad Fadhli Shaari.

"Pemuda PAS perlu memperbanyak dialog dan mengadakan program bersifat pendidikan kepada golongan bukan Melayu dan bukan Islam yang masih ramai mempunyai salah tanggapan terhadap perjuangan PAS," katanya.

Selain itu, Khairil Nizam turut meminta Pemuda PAS menguasai medan media sosial supaya dapat menjadi 'wartawan' dan 'pemberita' kepada parti dan kerajaan secara lebih responsif dan agresif.

Katanya penguasaan media sosial perlu menjadi keutamaan kepada jentera penerangan di setiap peringkat dan menurutnya sektor penerangan dan komunikasi strategik DPPM telah melakukan pelbagai usaha dan pendekatan untuk memastikan jentera penerangan Pemuda PAS berada pada tahap terbaik.

"Namun, dalam pemerhatian saya , kita masih lagi kurang responsif terhadap isu-isu yang timbul, tidak agresif dalam mengoptimumkan penggunaan ruang siber dalam memberi penerangan dan penjelasan terhadap serangan kepada PAS serta kerajaan.

"Ini wajib diperbaiki. Bersistematik dalam bertindak balas dengan mengenal pasti isu-isu, kreatif dalam penyampaian bersesuaian dengan golongan sasaran malah perbanyakkan lagi kandungan bersifat video pendek yang lebih engaging serta fahami algorithm media sosial agar kita dapat memaksimumkan capaian," katanya.

Muktamar DPPM ke-61 yang dihadiri kira-kira 400 perwakilan dari seluruh negara itu diadakan dalam suasana normal baharu dengan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS