Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysiakini ungguli anugerah Kewartawanan Multimedia 2019
Diterbitkan:  Sep 11, 2020 10:37 PM
Dikemaskini: Sep 12, 2020 12:45 AM

Malaysiakini mengungguli kategori Kewartawanan Multimedia Cemerlang dalam Anugerah Kewartawanan Malaysia 2019 MPI - Petronas yang diumumkan malam ini.

Portal berita itu juga mendapat hadiah saguhati untuk kategori Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang.

Malaysiakini dinamakan pemenang utama bagi kategori yang baru diwujudkan itu melalui laporan interaktif berkenaan kejadian pencemaran bahan industri di Sungai Kim Kim, Johor; 50 tahun tragedi 13 Mei; dan pengumuman Belanjawan 2020.

Laporan berkenaan ialah:

Tercemar teruk - nazakkah sungai di Pasir Gudang?

13 Mei, moga tak berulang

Belanjawan 2020

Untuk kategori itu Malaysiakini menerima wang tunai RM10,000 beserta piala dan sijil.

Ketiga-tiga laporan tersebut merupakan hasil inisiatif Kini News Lab yang diwujudkan pada 2018.

Secara keseluruhan ketiga-tiga projek itu membabitkan kerjasama sekurang-kurangnya 16 wartawan, jurugambar, jurukamera, pembangun laman sesawang dan petugas lain.

Semasa membacakan keputusan itu pengacara majlis memberitahu panel hakim sependapat berdasarkan penilaian persembahan multimedia, laporan tersebut ternyata mengikuti perkembangan semasa kewartawanan digital.

Ketua Pengarang Malaysiakini, Steven Gan, berkata portal itu berusaha bersungguh-sungguh melatih wartawannya agar mereka dapat menyampaikan maklumat dalam cara yang menarik dan inovatif.

"Kami berasa gembira melihat Malaysiakini berada pada landasan yang betul dan berharap dapat menyaksikan pemberitaan multimedia yang lebih baik dari segi teks, gambar, grafik, klip video dan audio pada masa depan," katanya.

Untuk hadiah saguhati pula, ia diberikan untuk siri laporan mengenai penderaan dan eksploitasi ke atas pekerja migran dari Bangladesh di negara ini.

Laporan dan esei foto empat siri itu dihasilkan melalui kerjasama rentas sempadan membabitkan Malaysiakini dan Kaler Kantho di Bangladesh. 

Ekoran pendedahan tersebut pada Sept tahun lalu, pihak berkuasa melakukan serbuan ke atas sebuah syarikat percetakan di Kapar, Kelang kerana didakwa melakukan kesalahan mengikut Akta Pekerja 1955.

Untuk hadiah saguhati Malaysiakini menerima wang tunai RM1,000 dan sijil.

Pemenang utama kategori tersebut ialah The Star dengan laporan mengenai perdagangan dadah di Malaysia.

Secara keseluruhan ada 17 kategori dipertandingkan tahun ini. Majlis malam ini diadakan di Hotel Majestic, Kuala Lumpur.

Menteri Pendidikan, Dr Radzi Jidin, hadir untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS