mk-logo
Berita

Ketika hubungan PAS dengan Umno dilihat mursyidul amnya sebagai "kemas dan kuat" Hashim Jasin membayangkan akan ada juga perkembangan dalam pendirian parti itu semasa muktamar ke-66 mereka berlangsung hujung minggu ini.

Bercakap kepada Malaysiakini, Hashim berkata, antara perkembangan yang diperhatikan PAS ialah apa yang berlaku pada hari penamaan calon sempena pilihan raya negeri (PRN) di Sabah esok.

“Bagi saya setakat sekarang ni antara Umno dan PAS tu, tak berubah. Jadi kemas dan kuat.

“(Dengan) parti-parti lain, kita tengok perkembangan, terutama selepas penamaan calon di Sabah.

"Tengok macam mana dan PAS akan tentukan sikap,” katanya tanpa memberi penjelasan lanjut hari ini.

Hashim dihubungi bagi mendapatkan pandangannya mengenai isu-isu yang akan dibangkitkan perwakilan parti itu dalam muktamar tahunan mereka pada 13 Sept ini.

Ia adalah muktamar ke-66 PAS, namun ia tetap menarik perhatian ramai kerana diadakan kali pertama sebagai parti kerajaan pusat.

Untuk rekod PAS menjalin hubungan rasmi dengan Umno melalui Muafakat Nasional pada tahun lalu, dan tidak lama kemudian menerima Perikatan Nasional yang diilhamkan Bersatu.

Hubungan cukup hebat

Menjelang PRN Sabah pada 26 Sept ini, PAS menyatakan keyakinan parti itu akan diperuntukkan 10 kerusi oleh rakan mereka. Bagaimanapun semasa pengumuman calon semalam - yang dilakukan secara berasingan oleh BN dan PN - PAS bukan saja tidak diberikan kerusi, malah tidak dijemput menyertainya.

Hari ini Presiden PAS Abdul Hadi Awang memberitahu partyi tidak bertanding untuk "memberi laluan" kepada sekutu mereka dan mengelakkan pertembungan.

Ditanya mengenai status PAS yang tidak diberikan sebarang kerusi untuk bertanding di Sabah, Hashim berkata: "Itu yang saya katakan tu, ada lagi kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku."

Pada masa sama Hashim juga ditanya mengenai layanan yang diterima PAS dalam gabungan politik mereka, terutama MN, Hashim menyifatkannya sebagai sangat "hebat".

“Dalam Muafakat Nasional ini cukup hebatlah. Sebab kita (PAS) boleh dikatakan dalam kebanyakan negeri, kita bergerak bersama Muafakat Nasional,” katanya.

Muktamar tahun ini diadakan Kota Bharu, Kelantan akan turut diadakan menerusi dalam talian dan disiarkan secara langsung di media sosial bagi membolehkan semua ahlinya dapat mengikuti perhimpunan tahunan tersebut.

Ia juga akan berlangsung selama sehari sahaja berbanding tiga hari sebelum ini. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS