Paling Popular
Terkini

Pertembungan sesama sendiri khasnya parti-parti komponen dan sekutu Perikatan Nasional dalam pilihan raya negeri Sabah memberi kita bayangan persaingan dalam PRU ke-15 nanti.

Jelas sekali kerjasama BN dengan PN khasnya Bersatu hanya bersyarat dan hanya untuk sementara, iaitu setakat PRU15 melainkan Muhyiddin Yassin melakukan beberapa inovasi dalam mempertahankan integrasi PN.

Kedudukan BN sebagai komponen PN tidak disenangi pemimpin utamanya, meskipun penyokong BN ramai menyenangi Muhyiddin.

Lalu kerjasama dengan PN hanya sebagai sokongan sahaja, kerana kekurangan alternatif lain.

Walaupun disenangi oleh BN, PAS nampak jarang dijadikan rakan kongsi yang saksama di dalam MN sebaliknya dilayan sebagai “komponen”, atau junior partner - persis parti-parti komponen dalam BN dahulu, berbanding ketertinggian kedudukan pemimpin Umno.

Sejak MN ditubuhkan, calon PAS tidak pernah diangkat MN/BN, meskipun gabungan itu cukup popular di kawasan majoriti Melayu.

Begitu jugalah dalam PRN, PAS sekali lagi diketepikan, setakat ke hari ini.

Kekuatan PN di Sabah turut akan terkesan dengan kem Musa Aman dan Rahman Dahlan yang telah disisihkan - kemungkinan dalam usaha Bung Mokhtar menolak pesaing-pesaing ketua menteri sekiranya BN/PN memenangi PRN ini.

Parti Cinta Sabah pimpinan Anifah Aman juga boleh memecahkan undi BN/PN. PCS dilaporkan bertanding di semua kawasan DUN Sabah.

Integrasi parti pembangkang di Sabah, meskipun tidak selonggar PN, turut memperlihatkan kesukaran dalam mewujudkan gabungan yang utuh walaupun usaha untuk memperkukuhkan tidak dijalankan.

Masalah dua nakhoda berterusan. Jika di semenanjung dan di peringkat nasional melibatkan pertembungan Anwar Ibrahim dan Mahathir Mohamad, di Sabah pula antara Shafie Apdal (Warisan) dan Anwar (PKR).

Kerana perpecahan parti yang begitu rumit dengan persaingan pelbagai penjuru, faktor-faktor pengundian seperti faktor parti, personaliti dan isu akan bertembung sesama sendiri yang mungkin melahirkan keputusan yang cukup terpecah-pecah.

Keputusan yang tidak konklusif atau majoriti yang kecil diperoleh oleh mana-mana pihak, aktiviti lompat parti dijangka berterusan, apatah lagi dengan beberapa individu yang akan bertanding pernah melakukan hal itu sebelum ini.

Ini adalah kebalikan dari objektif PRN Sabah kali ini - menghukum katak politik dan mewujudkan kerajaan negeri Sabah yang lebih stabil.

PRN Sabah baik dari segi pencalonan, persaingan dan keputusan nanti, boleh memberi gambaran situasi PRU-15 dan keadaan selepasnya nanti - iaitu sistem kepartian dan kepentingan elit yang semakin terpecah-pecah.


DR MUHAMAD NADZRI MOHAMED NOOR adalah penganalisis politik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS