Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Penampakan harimau dahan gesa tingkatkan usaha pemuliharaan'
Diterbitkan:  Sep 11, 2020 9:13 AM
Dikemaskini: 1:19 AM

Kumpulan pemuliharaan haiwan liar, 1Stop Borneo Wildlife menggesa agensi berkaitan meningkatkan langkah melindungi spesies terancam susulan penampakan nadir seekor harimau dahan Sunda Rabu lalu.

Harimau dahan Sunda (Neofelis diardi) dianggap salah satu haiwan pemangsa paling jarang ditemui dan paling sedikit kajian tentangnya di Borneo kerana sifatnya yang sukar difahami. Hanya tinggal sekitar 750 ekor harimau spesies itu di Sabah.

Pengasas 1Stop Borneo Wildlife Shavez Cheema dan presidennya Chun Xin Wong melihat haiwan itu pada malam Rabu semasa berjalan kaki melakukan rutin kembara malam.

Ia merupakan kali pertama bagi kedua-dua pakar pemuliharaan alam sekitar itu melihat haiwan berkenaan meskipun melakukan sekitar 20 kali rutin kembara malam dalam sebulan.

"Penampakan ini bermaksud ia (harimau dahan) masih di luar sana. Agensi seperti Jabatan Taman, Perhutanan dan Hidupan Liar Sabah berusaha sedaya upaya untuk memulihara haiwan ini dan ini bermakna lebih banyak perkara perlu dilakukan,” kata Shavez kepada Malaysiakini.

Shavez berkata, harimau dahan itu dilihat tenang dan tidak menunjukkan tanda-tanda merasa terancam, menunjukkan bahawa ia tidak pernah mengalami pertemuan buruk sebelumnya dengan manusia.

 

Ini adalah tanda positif, katanya, kerana pemburu haram adalah salah satu ancaman utama bagi harimau dahan walaupun ia merupakan spesies yang dilindungi sepenuhnya di Malaysia.

"Kami sedang melakukan rutin kembara malam untuk mencari hidupan liar seperti biasa ketika kami melihat ekor haiwan menakjubkan ini.

"Kami tunggu dan ia kemudian datang di hadapan kami. Ia terus berburu di sepanjang sungai dan berpusing-pusing sebelum duduk di atas bukit kira-kira lima meter dari kami, selama 30 minit. Ia sama sekali tidak takut kepada kami," katanya.

‘Aktiviti eko-pelancongan dapat membantu'

Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN) menganggap haiwan berkenaan sebagai spesies terancam kerana populasinya yang menurun dengan cepat, dengan anggaran hanya 4,500 yang tersisa di seluruh dunia ketika ini.

Spesies ini hanya terdapat di Sabah, Sarawak dan Kalimantan, Indonesia.

Shavez berkata, tinjauan juga menunjukkan pentingnya eko-pelancongan dalam pemuliharaan.

Oleh kerana lebih banyak syarikat menganjurkan aktiviti kembara malam di kawasan seperti Bukit Tawau, pelancong dan pemandu dapat bertindak sebagai renjer untuk memantau status hidupan liar di kawasan hutan simpan.

"Pemburu tidak mahu menggunakan jalan yang sama atau berada di kawasan yang sama dengan pengunjung.

"Harimau dahan adalah spesies kucing hutan yang paling sukar dilihat di kawasan hutan tetapi kerana syarikat pelancongan dan agensi kerajaan yang bertanggungjawab, peluang melihatnya meningkat terutama di tempat di mana terdapat banyak pemantauan malam seperti Deramakot, Danum, Tabin dan Bukit Tawau.

"Mungkin ini juga salah satu cara untuk membantu Harimau Malaya - melakukan lebih banyak aktiviti kembara malam untuk mengesan haiwan ini. Tidak salah mencuba," katanya.

 

Dia menambah bahawa data dari penampakan haiwan terancam yang diperoleh dari aktiviti kembara eko-pelancongan sering direkodkan dan dikongsi dengan para saintis.

Kata Shavez, sebagai contoh, 1Stop Borneo Wildlife, yang juga melakukan kembara eko-pelancongan, menyelenggara pangkalan data penampakan haiwan terancam dengan Program Karnivor Borneo dan Taman-Taman Sabah.

Ancaman ladang kelapa sawit

Kebanyakan gambar harimau dahan adalah dari kamera perangkap, sementara Danau Girang Field Center telah berjaya meletakkan pengesan pada enam harimau dahan setakat ini.

Data dari pengesan ini menunjukkan antara lain, harimau dahan tidak suka bergerak melalui kawasan yang tidak dilindungi oleh kanopi hutan, menjadikan penjarahan hutan di Sabah oleh syarikat ladang kelapa sawit masalah untuk kelangsungan hidup spesies tersebut.

"Kehilangan habitat akibat pembalakan komersial dan penukaran ke ladang kelapa sawit dan meningkatnya ancaman pemburu haram menjadi ancaman terbesar bagi harimau dahan.

"Ladang kelapa sawit kemungkinan akan berkembang di masa depan susulan desakan untuk biofuel, dan jika kadar penjarahan hutan ketika ini berterusan, litupan hutan di pulau Borneo dijangka menurun dari 50 peratus menjadi kurang daripada sepertiga pada tahun 2020,” kata IUCN.

Harimau dahan Sunda merupakan haiwan yang dilindungi sepenuhnya di Malaysia dan sesiapa yang didapati bersalah kerana memburu haiwan itu boleh didenda RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun.

Selain dibunuh kerana kulit dan bahagian badannya, harimau dahan juga dijual sebagai binatang peliharaan eksotik.

Pada 2015, seorang lelaki di Kota Kinabalu dikenakan denda maksimum kerana memiliki harimau dahan yang dibelinya melalui kumpulan Facebook rahsia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS