Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR setuju bertanding di 7 kerusi, beri sokongan kepada Shafie Apdal
Diterbitkan:  Sep 10, 2020 9:24 PM
Dikemaskini: 1:24 PM

PRN SABAH | Pengerusi PKR Sabah Christina Liew berkata parti itu bersetuju untuk bertanding di tujuh kerusi saja seperti diperuntukkan Warisan.

Katanya keputusan tersebut dicapai hasil perbincangan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR dengan Warisan.

"Keputusan itu disahkan oleh Presiden PKR (Anwar Ibrahim) dan setiausaha agung parti (Saifuddin Nasution Ismail) untuk menyokong keputusan pemimpin tempatan demi kepentingan terbaik Sabah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Liew berkata demikian selepas Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal mengumumkan pengagihan kerusi sebagai persediaan Pakatan Harapan (PH) Plus mempertahankan kerajaan Sabah.

Asalnya PKR menyasarkan 14 kerusi.

Keputusan diumum Mohd Shafie itu dibuat ketika PKR memutuskan untuk bertanding menggunakan lambang sendiri, manakala dua parti lain dalam PH - Amanah dan DAP - memilih untuk menggunakan logo Warisan.

Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) yang merupakan sekutu Warisan pula diberi 12 kerusi dan tetap menggunakan logo sendiri pada PRN dijadual pada 26 Sept ini.

PKR mendapat tujuh iaitu Matunggong, Tempasuk, Tamparuli, Inanam, Api-Api, Klias dan Sook.

Kata Liew, PKR gembira dapat bekerjasama dengan Warisan, DAP, Upko dan Amanah untuk memastikan mereka kekal sebagai pakatan yang strategik, stabil dan padu mempertahankan mandat rakyat.

"Walaupun keputusan pada tahap ini adalah menggunakan logo PKR, kami berharap pengundi Sabah terus memberikan sokongan mereka kepada gabungan ini.

"Kami berpegang teguh pada kepercayaan dan kerjasama yang sudah ada dari semua sekutu dalam gabungan ini.

"Kami menyokong kepimpinan Mohd Shafie untuk memimpin negeri ini menuju kemenangan," tambahnya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS