Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah dengar semula kesahan Akta MKN yang dipohon Anwar
Diterbitkan:  Sep 10, 2020 7:20 PM
Dikemaskini: 11:20 AM

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berjaya dalam permohonan untuk semakan semula keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan yang menolak untuk menjawab persoalan perlembagaan yang dikemukakannya berkaitan kesahan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Panel tujuh hakim yang dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Rahman Sebli, dalam keputusan sebulat suara membenarkan permohonan semakan Anwar untuk mengetepikan keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan sebelumnya bertarikh 11 Feb.

Oleh itu, mahkamah memerintahkan kes itu didengar semula di Mahkamah Persekutuan.

Abdul Rahman berkata bidang kuasa mahkamah menurut Peraturan 137 Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 sangat terhad dan hanya dilaksanakan dalam keadaan yang sangat luar biasa.

"Namun, setelah memberikan pertimbangan sedalamnya, kami berpendapat adalah sesuai dan tepat bagi mahkamah untuk menggunakan budi bicaranya dengan membenarkan permohonan itu," katanya.

Hakim lain yang bersidang ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Puan Sri Zaleha Yusof, Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Rhodzariah Bujang.

Dalam permohonan yang difailkan pada Mac lepas, Anwar sebagai pemohon mendakwa berlaku ketidakadilan berikutan keputusan mahkamah untuk tidak menjawab soalan perlembagaannya.

Beliau mendakwa kerajaan sebagai responden dalam kes tersebut, telah mengambil keputusan bahawa tuntutannya (Anwar) di Mahkamah Tinggi harus dibatalkan tanpa didengar.

Dalam notis usulnya Anwar berkata terdapat juga pelanggaran keadilan yang serius kerana beliau tidak diberi hak untuk didengar berhubung isu itu sama ada persoalan perlembagaan yang dibangkitkan adalah abstrak, akademik atau hipotesis.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata majoriti hakim membuat keputusan berdasarkan isu yang tidak pernah dibangkitkan oleh kerajaan.

Anwar memohon Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan majoriti itu dan mahu mahkamah mengeluarkan perintah yang wajar dan adil.

Pada 11 Feb, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 5-2 enggan menjawab persoalan perlembagaan yang dibangkitkan Anwar mengenai MKN.

Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan yang menyampaikan keputusan majoriti itu berkata ia tidak menunjukkan bahawa kewujudan MKN telah mengganggu kehidupan peribadi Anwar.

Beliau memerintahkan kes itu dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi untuk dibatalkan.

Selain Nallini, hakim lain yang membuat keputusan majoriti adalah Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim (sekarang Hakim Besar Sabah dan Sarawak) serta Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Mohd Zawawi Salleh dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Idrus Harun (sekarang Peguam Negara).

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri David Wong Dak Wah (sekarang telah bersara) yang dalam kumpulan minoriti memutuskan MKN adalah tidak berperlembagaan.

Anwar memfailkan saman pemula pada 2016 untuk mencabar perlembagaan MKN, dengan mendakwa pelaksanaannya tidak berperlembagaan. Beliau menamakan MKN dan kerajaan selaku defendan.

Pada 14 Mac tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Anwar mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk merujuk perkara itu ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan empat persoalan perlembagaan.

Terdahulu, peguam Anwar, Datuk Seri Gopal Sri Ram berhujah bahawa terdapat pelanggaran keadilan dalam kes ini yang memberi hak kepada mahkamah untuk mengetepikan keputusan majoriti oleh Mahkamah Persekutuan.

"Pemohon (Anwar) perlu didengar berhubung persoalan sama ada isu perlembagaan adalah akademik atau isu yang harus ditentukan oleh mahkamah ini," katanya.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan pula berhujah bahawa tiada keadaan pemohon yang boleh dipertimbangkan oleh mahkamah untuk membenarkan semakan keputusan tersebut berdasarkan Peraturan 137 Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

"Permohonan semakan semula jelas tanpa merit dan perlu ditolak dengan kos. Jelas, daripada alasan penghakiman, majoriti mencapai keputusan berdasarkan penemuan dan undang-undang yang digunakan mereka terhadap fakta dan keadaan kes itu," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS