Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

KES 1MDB | Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan pernyataan saksi oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman dalam perbicaraan rasuah melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak berkaitan dana 1MDB.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu semasa prosiding di mahkamah terbuka petang ini.

Beliau juga mengarahkan agar saksi berkenaan memberi keterangan pada Isnin depan.

Semasa prosiding pada 7 Sept lalu, peguam utama Muhammad Shafee Abdullah membuat permohonan untuk menyingkirkan bahagian-bahagian tertentu daripada pernyataan saksi tersebut dengan alasan bahawa ia mengandungi pelbagai tuduhan berdasarkan khabar angin.

Menurut undang-undang, khabar angin yang dimaksudkan merujuk kepada keterangan oleh seseorang saksi mengenai apa yang dikatakan diberitahu kepada saksi itu oleh orang lain, dan individu lain itu pula tidak dapat diperiksa balas di mahkamah.

Keputusan hari ini membolehkan saksi pendakwaan ke-10 itu untuk membacakan sepenuhnya pernyataan saksi setebal 118 halaman apabila dipanggil di kandang saksi ketika pemeriksaan utama oleh pihak pendakwaan Isnin depan.

Ketika membacakan keputusan ringkasnya hari ini, Sequerah mengatakan bahawa mahkamah akan menunggu sehingga akhir kes pendakwaan sebelum membuat keputusan mengenai apakah bahagian-bahagian pernyataan saksi yang dipertikaikan itu dapat diterima atau tidak.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS