Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Maruah untuk menang lebih penting, kata Shafie pada Anwar

PRN SABAH | Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal berkata keutamaan yang lebih ditekankan dalam pilihan raya hujung bulan ini ialah peluang untuk memenangi kerusi berbanding isu maruah sesebuah parti.

Katanya hal itulah yang dinyatakan pihaknya kepada Anwar Ibrahim ketika presiden PKR merangkap ketua pembangkang di parlimen itu berkunjung ke rumahnya baru-baru ini.

Menjelaskan isu pembahagian kerusi bagi menghadapi Perikatan Nasional, Mohd Shafie berkata sebelum ini dia sudah memberikan banyak kerusi kepada PKR.

Namun katanya PKR hanya berjaya memenangi dua kerusi saja.

"Ini bukan masa untuk kita memberikan kerusi, ini masa untuk kita memenangi pilihan raya.

"Ia bukan soal: 'Oh, parti kami akan dipandang rendah kalau kami dapat jumlah yang lebih kecil'.

"Bukan soal maruah parti yang jadi keutamaan kita. Maruah untuk kita menang pilihan raya yang lebih penting," katanya semasa berucap sebelum mengumumkan 54 calon yang akan bertanding di bawah lambang Warisan hari ini.

Majlis pengumuman calon itu diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di Kota Kinabalu.

Berdasarkan senarai calon yang diumumkan, PKR hanya mendapat separuh daripada jumlah yang dijangka ditandingi mereka.

Sedia hadapi sebarang kemungkinan

Semalam PKR Sabah berkata mereka akan bertanding di 14 kerusi. Bagaimanapun hari ini Mohd Shafie memberikan parti berkenaan hanya mendapat tujuh kerusi iaitu Api-Api, Inanam, Tempasuk, Tamparuli, Matunggong, Klias, dan Sook.

Kali terakhir PKR bertanding untuk DUN Sabah - pada 2018 serentak dengan pilihan raya umum - mereka bertanding di lapan kerusi.

Anwar berkunjung ke rumah Mohd Shafie minggu lalu dipercayai dalam usaha merundingkan pembahagian kerusi.

Dalam ucapannya hari ini Mohd Shafie juga menyentuh keengganan PKR bertanding menggunakan lambang sama, iaitu Warisan.

"DAP dan Amanah bersedia. Hanya PKR tidak.

"Mereka tidak mahu menggunakan logo, jumlah (kerusi) juga tidak diputuskan.

"Saya beritahu mereka, kita ada perjanjian dan ini adalah jumlah yang mesti kita tandingi," katanya.

Sementara itu dalam sidang media selepas pengumuman berkenaan Mohd Shafie berkata, peruntukan jumlah kerusi bagi parti yang bertanding bersama Warisan diputuskan berdasarkan potensi mereka untuk menang.

Katanya ia tidak dibuat berdasarkan akar umbi atau jumlah anggota parti.

Pun begitu bekas naib presiden Umno itu berharap kedua-dua pihak akan terus bekerjasama dalam PRN yang akan diadakan pada 26 Sept ini.

Pada masa sama, kata Mohd Shafie, dia bersedia dengan apa juga kemungkinan yang akan dihadapi nanti.

[Berita lanjut menyusul]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS