Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Macau scam: Polis serbu hotel, tahan 43 individu

Seramai 43 individu yang dipercayai terlibat dengan aktiviti penipuan 'Macau Scam' ditahan dalam serbuan di sebuah hotel di daerah Kluang pagi tadi.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata dalam serbuan itu, polis menahan 39 lelaki dan 2 wanita warga China serta dua wanita tempatan yang kesemuanya berusia lingkungan 18 hingga 40 tahun.

Beliau berkata sindiket yang dipercayai menjalankan pelaburan forex tidak wujud itu telah beroperasi hampir dua bulan di daerah tersebut selain pernah beroperasi di Kuala Lumpur dan Johor Bahru sebelum ini.

"Masa operasi sindiket ini bermula dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang waktu tempatan dan mereka menyasarkan warganegara China.

"Menerusi serbuan ini juga, pihak polis merampas 35 buah komputer riba serta 593 unit telefon bimbit pelbagai jenis," menurutnya dalam kenyataan lewat petang tadi.

Ayob Khan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959.

Beliau juga berkata pihaknya akan terus mengesan saki-baki ahli dan dalang sindiket itu yang masih bebas serta beroperasi.

"Polis Johor akan sentiasa melakukan pemantauan dan pemeriksaan ke atas premis-premis yang disyaki menjalankan kegiatan ini.

"Orang ramai dinasihatkan tidak bersekongkol dengan individu yang terlibat dalam kegiatan jenayah," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS