PRN SABAH | PKR Sabah tetap akan menggunakan logo sendiri pada pilihan raya negeri akan datang walaupun DAP mengumumkan bahawa parti itu akan bertanding menggunakan logo Warisan.
"PKR tetap akan gunakan logo PKR," kata Ketua Penerangan PKR Sabah, Simsudin Sidek kepada Malaysiakini.
Simsudin diminta mengulas pengumuman Setiausaha Agung DAP, Lim Guan hari ini bahawa DAP Sabah memutuskan akan bertanding di bawah bendera Warisan pada pilihan raya negeri Sabah.
Amanah pada 2 September lalu juga memutuskan untuk bertanding menggunakan logo Warisan.
Warisan mengetuai pakatan politik dengan Pakatan Harapan (PH) dan Upko sebagai sekutunya.
Presiden Warisan, Shafie Apdal sebelum ini berkata beliau tidak akan memaksa sekutu parti itu menggunakan logo bersama jika mereka enggan berbuat demikian.
Walaupun terdapat perselisihan mengenai logo bersama, PKR dilihat berpuas hati dengan hasil rundingan kerusi.
Simsudin dalam satu kenyataan berkata jumlah kerusi yang akan ditandingi PKR adalah "munasabah".
PKR, yang bertanding lapan kerusi Dun pada pilihan raya umum lalu, akan bertanding 14 kerusi dalam pilihan raya negeri pada 26 Sept ini.
"Walaupun parti pernah bertanding jumlah kerusi lebih besar, atas semangat setiakawan dengan rakan seperjuangan, khususnya Warisan, Keadilan hanya bertanding 6 kerusi parlimen dan 8 Dun pada 2018.
"Keanggotaan Keadilan Sabah telah mencecah lebih 170,000 orang, menjadikan Sabah negeri kedua tertinggi dari segi keanggotaan parti selepas Selangor.
"Atas sebab itu, parti kali ini ingin meletakkan 14 orang calon Dun, satu peningkatan yang munasabah memandangkan bilangan kerusi Dun juga meningkat dari 60 sebelum ini kepada 73 untuk pilihan raya negeri Sabah 2020," kata Simsudin.
Berdasarkan rundingan kerusi, PKR akan menyerahkan tiga kerusi yang ditandinginya sebelum ini iaitu Kadamaian, Kuala Penyu dan Karanaan.
Sebagai pertukaran, PKR akan diberikan sembilan kerusi yang sebelum ini tidak ditandinginya.
Ia adalah kerusi baru iaitu Segama, Limbahau, Pintasan dan Sungai Manila serta kerusi Klias, Sook, Kemabong, Membakut dan Petagas yang sebelum ini ditandingi oleh Warisan.
Untuk rekod, Petagas disandang oleh wakil rakyat Warisan, Uda Sulai. Warisan tidak memenangi kerusi lain yang ditandinginya pada pilihan raya umum lalu.
PKR juga akan mengekalkan lima kerusi yang ditandinginya dalam pilihan raya lalu, iaitu Api-Api, Inanam, Tempasuk, Tamparuli dan Matunggong.
PKR memenangi Api-Api dan Inanam pada pilihan raya umum lalu tetapi tewas di kerusi lain.