Jumlah kes aktif Covid-19 meningkat kepada lebih 300, yang merupakan angka tertinggi dalam hampir tiga bulan.
Menurut Kementerian Kesihatan, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan kini adalah sebanyak 322 kes.
Kali terakhir jumlah kes aktif Covid-19 melebihi 300 kes adalah pada 19 Jun lalu iaitu sebanyak 344 kes aktif direkodkan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah turut memaklumkan 24 jangkitan baru direkodkan setakat tengah hari ini.
“Daripada 18 kes penularan di dalam negara, 16 melibatkan warganegara dan dua adalah bukan warganegara,” katanya dalam satu kenyataan.
Kedah mencatatkan 16 kes baru dengan 13 kes daripada kluster Sungai; satu kes daripada kluster Tawar; satu kes daripada kluster Telaga; dan satu kes saringan bergejala di Hospital Sultanah Bahiyah manakala Sabah merekodkan dua kes daripada kluster Benteng.
Enam kes merupakan kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan tiga warganegara Malaysia dan tiga bukan warganegara.
Kes import itu adalah mereka yang pulang dari Bangladesh (2), China (1), Indonesia (1), Singapura (1) dan Korea Selatan (1).
“Kes import melibatkan bukan warganegara telah memasuki Malaysia sebelum pelaksanaan sekatan kemasukan yang mula berkuat kuasa pada 7 Sept.
“Dua kes dari Bangladesh tiba di Malaysia pada 6 Sept dan telah disaring pada hari yang sama manakala satu kes dari China tiba di Malaysia pada 5 Sept dan disaring pada 6 Sept,” katanya.
Sementara itu di Sabah, Kluster Benteng Lahad Datu yang menyebabkan lonjakan kes Covid-19 dalam dua hari lalu menyaksikan hanya dua kes baru dicatatkan.
Ini menjadikan jumlah kes dalam kluster Benteng Lahad Datu adalah sebanyak 130 kes.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat tujuh kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), termasuk empat kes memerlukan bantuan pernafasan serta tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kekal 128 kes.