Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Kenapa lawatan menteri pertahanan China ke Malaysia tiada liputan?’

Bekas timbalan menteri pertahanan Liew Chin Tong berkata dia hairan kenapa kehadiran Menteri Pertahanan China, Wei Fenghe ke negara ini bertemu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak dilaporkan media tempatan.

Sedangkan kata Liew, kehadiran menteri daripada negara kuasa besar itu adalah satu acara penting buat kerajaan dan negara.

"Saya tidak faham kenapa lawatan ini tidak diberi liputan, lawatan menteri pertahanan China sebenarnya satu perkara ataupun acara penting.

"China, Amerika Syarikat dua kuasa besar dan kepentingan di rantau ini.

“Saya tak pasti lawatan itu diberikan liputan di Malaysia, (tetapi) warga Malaysia dapat maklumat daripada sumber (media) China," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Berita dan gambar berkaitan kunjungan itu dilaporkan di media rasmi Kementerian Pertahanan China kelmarin.

Muhyiddin Yassin dan Wei Fenghe

Agensi berita China Xinhua dan akhbar Hong Kong South China Morning Post turut melaporkan lawatan itu semalam.

Kehadiran Wei ke Kuala Lumpur pada Isnin lalu dilaporkan untuk membincangkan kerjasama dua hala dengan Muhyiddin.

Muhyiddin menyatakan kesediaan Malaysia memperkukuhkan hubungan dengan Beijing dalam semua bidang, termasuk pertahanan, perdagangan dan pendidikan.

Muhyiddin turut dilaporkan mengucapkan tahniah kepada China atas kejayaannya menangani penularan Covid-19.

Kemelut China-Amerika

Mengulas lanjut, Liew berkata Malaysia berada di tengah-tengah kemelut antara China dan Amerika Syarikat berhubung kedaulatan Laut China Selatan.

Jelasnya, Malaysia harus memimpin pandangan dalam isu berkenaan dan tidak seharusnya memihak kepada mana-mana kuasa besar.

"Negara kita berada di satu rantau di mana krisis boleh berlaku bila-bila masa terutamanya di Laut China Selatan terutamanya Amerika Syarikat dan China berada dalam satu konteks persaingan.

"Persaingan secara strategik, Malaysia harus memimpin pandangan. Seperti mana peranan Malaysia mainkan sejak dulu," katanya lagi.

Sementara itu Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob ketika dihubungi Malaysiakini berkata dia akan memberi penjelasan mengenai perkara itu esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS