Isu melibatkan pelajar Sabah Veveonah Mosibin terus mendapat perhatian ahli politik.
Beberapa lagi ahli politik tampil mengulas isu itu setelah tercetus kontroversi melibatkan kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin baru-baru ini.
Pemuda Pakatan Harapan (PH) Terengganu mendakwa Veveonah menjadi mangsa buli siber oleh ahli politik.
Selain itu, katanya, realiti sebenar menunjukkan kerajaan tidak mengendahkan masalah jaringan Internet luar bandar.
“Lebih mendukacitakan, kementerian pengajian tinggi seolah bisu untuk membela nasib mahasiswa terbabit.
“Suara lantang dari menteri dan timbalan menteri wanita juga langsung tiada kedengaran. menteri belia dan sukan juga menyepi,” kata tiga pemimpin kanan Pemuda Pakatan Harapan (PH) Terengganu dalam kenyataan bersama.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Ketua Pemuda PH Terengganu Hasbie Muda, Ketua AMK Terengganu Nazhan Zulkifli dan Ketua Pemuda Amanah Terengganu Zamir Ghazali.
Isu Veveonah kembali hangat selepas Zahidi dan Timbalan Menteri Kewangan I Abdul Rahim Bakri mempersoalkan kredibiliti video tular milik Veveonah.
Video itu menunjukkan pelajar Asasi Sains dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu, menduduki peperiksaan dalam talian pada 12 Jun lalu bagi mendapatkan capaian Internet yang lebih baik.
Pada awalnya, Zahidi di Dewan Negara yang berkata, video Veveonah memanjat pokok demi menjawab peperiksaan dalam talian hanya sekadar meraih populariti.
Veveonah kemudian menafikan dakwaan tersebut serta menunjukkan bukti jadual peperiksaan bagi memperkukuh kenyataannya.
Zahidi kemudian mengakui terkhilaf, memohon maaf dan menjelaskan mendapat maklumat tidak tepat daripada Abdul Rahim.
Abdul Rahim mempertahankan dakwaan Veveonah menipu dengan berkongsi laporan daripada ketua kampung bahawa Veveonah tidak menetap di Kampung Sepatalang serta hasil soal siasat dari pensyarah institut itu.
Dia berani - Wanita Amanah
Sementara itu, Naib Wanita Muda Amanah (Warda) Nur Najihah Muhaimin, pula menyifatkan Veveonah sebagai seorang yang berani ketika membuat kenyataan balas terhadap kedua-dua timbalan menteri itu.
“Meskipun pelajar Universiti Malaysia Sabah ini kecewa dengan kenyataan oleh ahli politik ini, namun jiwa dan pemikirannya memilih untuk memaafkan menteri.
“Begitulah anak muda Sabah. Kita harus bangga dengan keberanian dan kebijaksanaan wanita muda seperti Veveonah Mosibin.
“Warda juga yakin anak muda Sabah bijak memilih pemimpin demi kebaikan rakyat Sabah,” katanya lagi.
Muhasabah diri, kata Ikatan
Sementara itu, Ketua Pemuda Ikatan (DPIM) Shahir Adnan pula berkata, menteri dan timbalan menteri terlibat sewajarnya mencari jalan memperkasakan capaian Internet dan bermuhasabah.
“Tiada keperluan untuk mereka menyiasat hingga bertanyakan pihak universiti akan kesahihan tarikh peperiksaan atas talian,” katanya.